Home Nasional Draf SOP panduan ibadah di masjid, surau diperketatkan

Draf SOP panduan ibadah di masjid, surau diperketatkan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary diiringi Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee (kiri) menyampaikan replika cek kepada Pegawai Memerintah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Mohammad Amirrudin Hamdan (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan 16 Buah Hospital dan Agensi Perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Draf Operasi Standard (SOP) mengenai garis panduan solat di masjid dan surau masih belum diumum kerana masih dalam proses diperketatkan lagi hari ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary.

Ia diteliti lagi agar ia menepati kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi membendung Covid-19 dalam masa sama mengelakkan wujudnya kluster baharu.

Menurutnya, antara aspek yang terlibat dalam garis panduan tersebut adalah had umur, kondisi kesihatan para jemaah yang hadir, pengurusan masjid, kebersihan tandas masjid dan lain lagi.

“Yang ditambah itu ialah untuk kita lebih perketatkan sedikit daripada asalnya untuk menepati pihak KKM dan MKN yang lebih mementingkan soal keselamatan.

“SOP itu termasuklah had umur berapa maksimum berapa minimum berapa juga berkait dengan kondisi orang yang nak hadir, pengurusan masjid, pengurusan tandas masjid,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tuanku Mizan hari ini.

Pada 4 Mei yang lalu, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) berkata pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disiapkan kementerian itu.

Dilaporkan panduan itu disediakan oleh Unit Penyelidikan Ilmiah JPM (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ditanya adakah garis panduan itu turut merangkumi solat Hari Raya Aidilfitri, Ahmad Marzuk menyifatkan ia terlalu awal untuk mengulas mengenainya.

Beliau juga berkata, SOP itu berkemungkinan akan diumumkan dalam waktu terdekat.

“Insya Allah ia akan memberikan ruang untuk sekiranya diluluskan ruang umat Islam melaksanakan beberapa tuntutan agama  solat Tarawih, Jumaat di masjid,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama Ahmad Marzuk menyangkal dakwaan kerajaan menyisihkan sektor agama apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi mula berpperasi.

Sebaliknya, beliau menegaskan, aktiviti keagamaan masih dibenarkan di kediaman masing-masing tanpa perlu berada di masjid atau surau demi memastikan tiada jangkitan wabak Covid-19 berlaku.

“Jadi yang terhalang untuk kita bebas ke masjid, itu masih lagi dalam pertimbangan jadi kekeliruan itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang pada saya sangat tidak bertanggungjawab seolah kita menghalang aktiviti agama,” tambah beliau. -MalaysiaGazette