KUALA LUMPUR- Hampir keseluruhan responden (96.8 peratus) menyatakan memperoleh faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan Perdana Menteri pada 27 Mac lalu.
Daripada 41,386 responden yang menyertai Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2), 68.2 peratus menerima tiga bentuk bantuan, 13.9 peratus menerima bantuan dan 17.9 peratus menerima satu bantuan.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sejumlah 70.1 peratus responden berpendapat pakej rangsangan tersebut berkesan mengurangkan beban kewangan mereka.
Manakala 9.1 peratus responden pula berpendapat ianya berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan yang dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Analisis yang dibentangkan dalam laporan survei khas ini meliputi pandangan individu secara kualitatif mengenai ekonomi, pekerjaan, corak kehidupan dan pendidikan.
“Dapatan daripada survei ini diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan COVID-19 terhadap ekonomi dan kehidupan.
“Analisis yang dikongsikan adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai survei khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.
“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan COVID-19 di Malaysia dan ia bukanlah statistik rasmi.
“Namun, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penemuan itu dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan maklum balas Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) telah dilaksanakan secara atas talian pada 10 hingga 24 April 2020 yang lalu.
Seramai 41,386 responden meliputi seluruh Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas telah menyertai survei khas kali ini.- MalaysiaGazette