Home Nasional Gerak Malaysia: PLUS jangka lebih 300,000 kenderaan bergerak mulai esok

Gerak Malaysia: PLUS jangka lebih 300,000 kenderaan bergerak mulai esok

Sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih daripada 300,000 kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara termasuk rangkaian lebuh raya PLUS sepanjang tempoh Gerak Malaysia bermula pada cuti perayaan Hari Wesak esok hingga 10 Mei ini.

Ini kerana Inisiatif Gerak Malaysia ini membolehkan orang ramai yang sebelum ini terkandas di negeri-negeri lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan berhasrat bergerak pulang ke rumah masing-masing untuk kembali bekerja.

“Pihak polis telah memaklumkan bahawa pergerakan secara berperingkat ini akan berlangsung selama empat hari. Pada hari pertama esok, pemohon Gerak Malaysia yang telah mendapat kebenaran akan bergerak pulang dari Kuala Lumpur ke destinasi masing-masing.

“Hari kedua (8 Mei) melibatkan perjalanan mereka yang terkandas dari Perak, Johor dan Kelantan manakala pada 9 Mei pula melibatkan mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pada hari terakhir Gerak Malaysia pada 10 Mei pula adalah bagi mereka yang membuat perjalanan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk kembali semula ke rumah masing-masing, katanya.

“Kami sangat prihatin dan mengambil berat terhadap keselamatan dan keselesaan orang ramai ketika melakukan perjalanan di lebuh raya sepanjang tempoh Gerak Malaysia tersebut,” tambah Azman.

PLUS telah melaksanakan Prosidur Operasi Standard selaras dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak dari fasa pertama PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Setiap pemandu dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

Ia berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pelanggan di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Sehubungan  itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri, kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara. Sila rujuk lokasi SSK dan tambah nilai terdekat dengan melayari www.touchngo.com.my.- MalaysiaGazette