Home Nasional Kedai gunting rambut masih tak boleh beroperasi

Kedai gunting rambut masih tak boleh beroperasi

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia masih lagi tidak membenarkan kedai gunting rambut dibuka atau beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu diputuskan kerana terdapat laporan di Jepun dan Amerika Syarikat yang menunjukkan terdapat jangkitan di antara tukang gunting dan pelanggan.

“Kita akan memantau dengan teliti untuk kemungkinan membenarkan atau tidak. Bermula 4 Mei lalu, PKPB selama dua minggu akan dipantau perkembangan jumlah peningkatan atau tidak untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi lain.

“Selepas itu baru kita akan beri nasihat kepada kerajaan,” katanya pada sidang media harian KKM hari ini.

Beliau diminta mengulas pertanyaan sama ada premis gunting rambut akan dibuka dalam pelaksanaan PKPB ketika ini.

Pelaksanaan PKPB masih melarang pengusaha kedai gunting rambut dan salon kecantikan menutup perniagaan mereka.

Ini sekali gus menyebabkan sebahagian golongan masyarakat mengeluh kerana rambut masing-masing semakin tidak terurus terutama lelaki yang bukan sahaja rambut mereka sudah panjang daripada biasa, malah misai dan jambang juga sudah berserabut.

Bagi wanita pula, ada sebahagian yang mengeluh ‘warna’ rambut mereka sudah mulai luntur selain tidak boleh membuat rawatan rambut seperti biasa demi menjaga kecantikan dan penampilan masing-masing. – MalaysiaGazette