Home Sukan Liridon sah pemain naturalisasi kedua

Liridon sah pemain naturalisasi kedua

Liridon Krasniqi

KUALA LUMPUR – Hasrat pemain Johor Darul Ta’zim, Liridon Krasniqi menjadi pemain naturalisasi kedua untuk skuad Harimau Malaysia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberikan lampu hijau.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberitahu pihaknya telah menerima surat kelulusan daripada badan induk bola sepak dunia tersebut baru-baru ini.

Perkembangan baru ini tentunya satu berita gembira buat peminat bola sepak negara dan turut menjadi satu lonjakan motivasi buat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang boleh memanggil pemain kelahiran Kosovo ini bila-bila masa bermula sekarang.

“Memang kalau diikutkan perlawanan dengan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dia (Liridon) sudah boleh main, tapi FIFA tak boleh keluarkan surat selagi dia tidak memenuhi syarat lima tahun (beraksi di Malaysia).

“Dia cukup syarat lima tahun pada 25 Mac lalu dan perlawanan kita berdepan UAE sepatutnya pada 26 Mac lalu. Selepas penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia, mereka (FIFA) keluarkan surat,” kata Stuart kepada BH Online di sini.

Bagaimanapun status seorang lagi bakal pemain naturalisasi, Guilherme De Paula masih tiada perkembangan lanjut daripada FIFA.

Sebelum ini timbul persoalan mengenai status kelulusan Liridon untuk beraksi berdepan UAE dalam perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung pada 26 Mac lalu kerana tarikh bagi Liridon untuk melengkapkan lima tahun bermastautin di Malaysia hanya sehari sebelum hari perlawanan.

Namun demikian, selepas perlawanan tersebut ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19, Liridon kini tidak perlu lagi risau mengenainya dan bersedia untuk memberikan aksi terbaiknya dalam penampilan pertama untuk skuad kebangsaan.

Bekas pemain Kedah dan Melaka United itu sebelum ini menerima kad pengenalan Malaysia (MyKad) di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya pada 3 Februari lalu. – MalaysiaGazette