Home Nasional Pengguna pengangkutan awam darat, motosikal kini boleh rentas negeri

Pengguna pengangkutan awam darat, motosikal kini boleh rentas negeri

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Pengguna pengangkutan awam darat dan penunggang motosikal yang sebelum ini dilarang untuk melakukan pergerakan perjalanan antara negeri bermula 7 hingga 10 Mei ini kini dibenarkan berbuat demikian.

Ini kerana Polis Diraja Malaysia telah membuat keputusan untuk membenarkan pengguna kedua-dua platform pengangkutan itu merentasi negeri dalam tempoh sehingga Ahad ini seperti ditetapkan.

Bagaimanapun mereka disyaratkan untuk wajib mendaftar dalam aplikasi Gerak Malaysia dan mengemukakan segala butiran alamat asal dan alamat destinasi yang dituju seperti dijadualkan dan menjana kod Respond Pantas atau Kod QR seperti dikehendaki polis untuk pemeriksaan dan pengesahan di sekatan jalan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, keputusan itu diambil selepas pemerhatian dan kajian sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan melibatkan pergerakan orang terkandas dari Kuala Lumpur mendapati begitu lancar tanpa sebarang masalah kesesakan.

“Kerajaan telah membenarkan pergerakan antara negeri bermula hari ini hingga 10 Mei ini dan pergerakan hari ini dalah mereka yang diluluskan pergerakan keluar dari ibu kota.

“Pemerhatian dan kajian sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan mendapati pergerakan kenderaan berjalan lanar.

“Dengan mempertimbangkan situasi demikian PDRM telah membuat keputusan untuk membenarkan pergerakan antara negeri menggunakan pengangkutan awam darat yang mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa dan penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, beliau mengingatkan orang ramai yang menggunakan kenderaan pengangkutan awam darat atau motosikal hendaklah mendapatkan kelulusan pergerakan antara negeri melalui aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual dari balai polis berhampiran.

“Kebenaran pergerakan antara negeri hanyalah untuk orang yang terkandas di kampung yang berkeinginan untuk kembali ke kediaman masing-masing atau mereka yang pergi dan balik bekerja sahaja.

“Malah pergerakan ini adalah mengikut jadual yang ditetapkan PDRM iaitu 7 Mei dari Kuala Lumpur, 8 Mei dari Perak, Johor dan Kelantan, 9 Mei adalah dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka dan Pahang, manakala 10 Mei adalah pergerakan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu,” ujarnya.

“PDRM sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan diri serta mengaalkan penjarakan sosial sepanjang masa,” tegasnya.-MalaysiaGazette