Home Nasional 10 daerah masih zon merah, zon hijau bertambah

10 daerah masih zon merah, zon hijau bertambah

Petugas KKM membuat saringan kesihatan ke atas peniaga dan penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-49 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 daerah di Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor masih merekodkan kes aktif Covid-19 melebihi 41 kes, sekali gus meletakkannya sebagai zon merah.

Menurut data dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, beberapa daerah menunjukkan pengurangan kes antaranya, Gombak (84 kes), Petaling (49) dan Kluang (58).

Bagi Kuala Lumpur, kawasan ibu negara mencatatkan kes aktif tertinggi dengan bilangan 156 kes, diikuti mukim Batu 98 kes, Kampung Baru (67) dan Sri Petaling (45).

Daerah Hulu Langat bertambah kepada (57), dan Kuching, Sarawak kepada 102 kes dan Kota Samarahan tiada perubahan dengan 44 kes aktif.

Sementara itu, Melaka menghampiri negeri sifar kes aktif apabila ketiga-tiga daerahnya diletakkan di bawah zon kuning.

Jasin mencatatkan tujuh kes aktif, Melaka Tengah lima kes dan Alor Gajah lima kes.

Sebanyak 78 daerah di seluruh negara diletakkan di bawah zon kuning dan 113 daerah berada di zon hijau yang tidak mempunyai kes aktif.

Pertambahan zon hijau sejak semalam adalah di Connaught dengan satu pesakit aktif Covid-19 sembuh, situasi sama di Mersing.

Sementara dua zon hijau pula memasuki zon kuning antaranya Lundu, Sarawak yang mencatatkan satu kes aktif Covid-19.

Kunak juga memasuki kembali zon kuning apabila terdapat satu kes aktif di kawasan itu.

CPRC juga berkata, dua kluster telah ditamatkan iaitu Kluster Seksyen 6 Bandar Baru Bangi dan Kluster Warga Emas, kedua-duanya di negeri Selangor.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 1,584 kes sedang dirawat di hospital berbanding 6,467 kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 107 kematian akibat Covid-19.

Dalam pada itu, daerah Langat dilaporkan satu-satunya daerah di Selangor yang bebas jangkitan Covid-19 setakat tengah hari semalam apabila empat pesakit positif Covid-19 sembuh semalam. – MalaysiaGazette