KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu kali ini melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
MKN tidak pernah mengeluarkan sebarang khidmat nasihat mahupun garis panduan berhubung pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam di negara ini.
“MKN menafikan pihaknya pernah memberikan khidmat nasihat kepada pihak tertentu berkaitan ‘Garis Panduan Pembukaan Semula Kuil-kuil Hindu di Malaysia,” kata Pasukan Respon Pantas KKMM dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, MPSĀ pula menafikan pihaknya pernah mengeluarkan iklan tawaran temuduga pengambilan pekerja untuk Pasar Borong Selayang pada 8 Mei 2020, pukul 2 petang di Dewan Sri Siantan, Jangan Sungai Tua.
“MPSĀ tidak pernah menerima atau meluluskan sebarang permohonan untuk mengadakan temuduga pekerjaan seperti yang didakwa dan semakan mendapati nombor yang disertakan pada iklan palsu tersebut juga tidak aktif dan tidak dapat dihubungi.
“Orang ramai diminta untuk melayari laman sesawang www.mps.gov.my atau laman sosial MPS serta menghubungi talian hotline MPS di 1-800-222-677 untuk sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat,” katanya. – MalaysiaGazette