KUALA LUMPUR – Pemergian pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus ke rahmatullah awal pagi ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah itu.
Muhyiddin menyifatkan pemergian Ismail itu juga sebagai satu kehilangan besar kepada dunia dakwah di negara.
“Innalillahiwainnailahirojiun, saya berasa amat sedih mendapat berita Tuan Guru Ustaz Dato’ Haji Ismail Haji Kamus telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
“Allahyarham Tuan Guru Ustaz Dato’ Ismail Kamus merupakan seorang pemimpin dan tokoh agama yang banyak menyumbang kepada negara melalui kerja-kerja dakwah yang dilakukan sepanjang hayatnya.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Allahyarham Ismail meninggal dunia pukul 12.30 pagi tadi dan perkara itu disahkan oleh anaknya, Mohd Firdaus Ismail dalam hantaran di laman Facebook.
“Saya dengan hati yang sangat hiba memaklumkan abah saya (Dato’ Ustaz Haji Ismail B. Kamus) telah kembali kerahmatullah pada jam 12:30 pagi 8 Mei 2020 /15 Ramadhan 1441 Hijrah,” katanya.
Tokoh agamawan itu sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur. Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 26 April lalu disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.
Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.
Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.
Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.
Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.
Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.
Ismail juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia. – MalaysiaGazette