KUALA LUMPUR – Penyelesaian yang dicapai antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerajaan Sarawak merupakan pendekatan mampan dari segi ekonomi, kewangan dan sosial negara dalam jangka panjang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak usaha menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 bermula secara rasmi pada Disember 2018, kerajaan negeri Sarawak dan Petronas berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih penyelesaian dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri itu.
“Ini juga selari dengan dasar utama kerajaan, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama, yang bermatlamat untuk berkongsi kemakmuran negara merentas kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, penyelesaian itu memberi ruang kepada kerajaan Sarawak terlibat sama dalam pembangunan industri minyak dan gas bersama Petronas tanpa mengubah peranan Petronas sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas, selaras dengan perlembagaan persekutuan.
“Jawatankuasa yang akan dipengerusikan bersama oleh menteri kanan kerja raya dan menteri kewangan akan memastikan rundingan diteruskan ke arah penghasilan yang diterima oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama Petronas dan Pejabat Ketua Menteri, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi membangunkan industri minyak dan gas di negeri itu.
Petronas juga bersetuju untuk membayar kira-kira RM2 bilion sebagai cukai kepada negeri, selain menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahnya membayar cukai itu.
Pada Januari tahun lepas kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum Petronas di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.
Petronas bagaimanapun enggan membayar cukai tersebut dengan berkata, ia bercanggah dengan perlembagaan, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri tindakan undang-undang.
Pada 13 Mac Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, sekali gus menolak permohonan Petronas untuk mengisytiharkan cukai jualan negeri Sarawak tidak sah dan terbatal.- MalaysiaGazette