Home Nasional PKPB: 92 amaran, 4,760 nasihat dikeluarkan Polis Selangor

PKPB: 92 amaran, 4,760 nasihat dikeluarkan Polis Selangor

Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

SHAH ALAM – Sebanyak 92 amaran dan 4,760 nasihat telah dikeluarkan Polis Kontinjen Selangor bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setakat semalam iaitu hari ke-5 di negeri itu.

Jurucakapnya, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, amaran yang dikeluarkan itu terhadap beberapa kesalahan termasuk menaiki kenderaan persendirian melebihi empat orang.

“Sebanyak 92 amaran dan 4,760 nasihat telah diberikan bagi tempoh semalam sahaja.

“Pelanggaran ini dari segi peraturan yang mana ditetapkan oleh pihak kerajaan di bawah peraturan PKPB nombor lima.

“Antaranya penjarakkan sosial, kenderaan persendirian yang mana lebih daripada 4 orang, berkumpul di tempat awam dan pelbagai lagi. Naik kereta lebih 4 orang antara kesalahan yang dikeluarkan amaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Sepanjang pelaksanaan PKPB yang bermula 4 Mei lalu, sebanyak 5,128 pemeriksaan telah dilakukan pihaknya melibatkan kawasan yang menjadi tumpuan awam.

“Antaranya premis pasaraya, restoran dan kilang sebanyak 1,598 pemeriksaan dibuat oleh pihak Polis Kontinjen Selangor.

“Bagi terminal darat, air dan udara, sebanyak 215, untuk kenderaan persendirian dan awam 2,827.

“Bagi pasar awam, sebanyak 137, tempat ibadat 146, tempat riadah 55, tapak pembinaan 28, menjadikan jumlah sebanyak 5,128,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini tiada tangkapan dibuat ke atas mana-mana pihak khususnya melibatkan kesalahan sepanjang rentas kawasan dan negeri yang bermula sejak semalam hingga 10 Mei ini.

“Daripada jumlah pemeriksaan kenderaan setakat semalam sahaja sebanyak 14,367 dan tiada tangkapan dibuat.

“Setakat itu memang itu kita boleh sahkan (tiada permohonan di bawah Gerak Malaysia) tidak ada tangkapan. Bererti semua rakyat Malaysia mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette