PADA suatu hari bulan Oktober 1997, saya bertemu dengan Ustaz Datuk Ismail Kamus di pejabatnya di Kampung Baru untuk pastikan beliau ‘masih hidup’!
Ustaz ketika itu baru pulang dari Tanah Suci.
“Ya, saya masih hidup.” Dia menjawab soalan saya dengan nada bersahaja sebaik kami bersua muka. Ustaz sudah tahu tujuan saya mahu bertemu dengannya melalui telefon sebelum itu.
Memang, kenyataan melalui telefon pun memadai untuk saya guna tulis berita tetapi saya tetap mahu bertemu untuk mendapatkan gambarnya yang terbaru. Saya mahu orang percaya Ustaz Ismail Kamus masih hidup!
Sewaktu Ustaz masih di Tanah Suci, di tanah air heboh Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Madinah.
“Patutlah saya berasa kenyang saja walaupun ada dua tiga hari di sana saya tidak jamah sebutir nasi pun. Rupanya ramai orang baca Fatihah untuk saya, ” ujarnya berseloroh.
Masa itu, bukan setakat Al Fatihah, solat jenazah ghaib malah tahlil arwah pun ada yang buat untuk beliau.
Daripada perbualan itu, keluarlah berita bertajuk ‘Saya masih hidup’ dengan gambar Ustaz Ismail Kamus dalam Warta Perdana 19 Oktober 1997. Daripada lebih kurang 100,000 naskhah yang dicetak, saya masih ingat lebih 99,000 habis dijual. Hanya lebih kurang 400 naskhah sahaja yang ‘return’. Suatu rekod!
Banyak masjid dan surau yang tampal keratan berita itu termasuk Masjid Pekeliling, KL yang saya selalu singgah solat. Ada juga yang telefon saya di pejabat minta saya ceritakan lebih detail kerana tak puas baca berita dalam surat khabar. Ada juga yang tak dapat beli, surat khabar Warta Perdana kerana habis dijual.
Kiranya suatu yang luar biasa juga, saya wartawan yang lazimnya menulis, terpaksa jadi penglipur lara — tukang cerita lisan kepada beberapa orang yang menelefon.
Begitulah popularnya Datuk Ismail Kamus pada masa itu.
Populariti beliau pada peringkat awal diraih daripada penampilan dalam program Forum Perdana Ehwal Islam (FPEI) yang mencatat ‘rating’ gila-gila di TV1.
Selain Ustaz Ismail Kamus, tokoh lain daripada FPEI ialah Datuk Dr. Hasan Ali, Pengarah Akademi Keluarga Bahagia (AKRAB) yang juga pernah akrab dengan saya.
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sekarang jadi menteri pun antara yang lahir daripada FPEI.
Hal hubungan akrab saya dengan Ustaz Ismail Kamus bermula sejak awal saya sertai Warta Perdana pada pertengahan 1990an.
Saya diberi tanggungjawab kendali ruangan soal jawab agama beliau. Di sini, ada cerita lucu, ada juga cerita masam.
Ustaz terlalu sibuk berceramah di seluruh tanah air, juga Singapura dan Brunei selain berulang alik ke Tanah Suci memimpin jemaah. Kerana itu, sering sahaja beliau terbabas ‘deadline’ kolum soal jawabnya.
Apabila dia tidak sempat jawab, saya terpaksa ‘recycle’ soalan dan jawapan yang sudah sedia ada. Siarkan semula dengan sedikit modifikasi supaya tidak sama.
Apabila sudah terlalu kerap dimodifikasi, akhirnya ada yang saya terlepas pandang.
Dalam satu persoalan berkaitan kafarah bagi orang yang terlanjur bersetubuh siang hari Ramadan iaitu puasa dua bulan berturut turut, saya terlupa masukkan frasa ‘untuk lelaki’.
Selepas disiarkan, Ustaz hubungi saya beritahu dia terima panggilan daripada Mufti Selangor waktu itu, Datuk Ishak Baharum bahawa ada orang mengadu kepada mufti, ‘Ustaz Ismail Kamus jawab salah dalam surat khabar’.
Alamak! Menggeletar saya. Yang jawab salah bukan Ustaz Ismail Kamus tapi ‘Ustaz Mat Celup’.
Bagaimanapun Ustaz tetap ‘cool’. Dia tidak pula marahkan saya walaupun saya telah buat kesalahan yang sangat besar, menjejaskan namanya yang sangat besar dalam isu yang sangat besar.
“Macam inilah … enta buat pembetulan. Orang perempuan mana boleh puasa dua bulan berturut turut,” katanya.
Fuh! Saya lega. Macam air terjun terjah atas kepala dalam iklan ENO.
Ustaz memang tak pernah tak sibuk. Saya pernah ikut dia yang masa itu baru balik dari ceramah di Pulau Pinang. Saya ikut untuk beri masa dia jawab soalan-soalan daripada pembaca dalam kereta. Saya baca soalan, dia jawab dan saya rakam.
Hari itu Jumaat. Ustaz ambil anaknya di sekolah bawa sekali. Kami ke masjid yang saya tak ingat di mana sama ada di kawasan Bangsar atau Lembah Pantai. Ustaz kena baca khutbah. Usai solat Jumaat, kami hantar anaknya balik ke sekolah dan dia pula nak terus ke Pahang. Ada program ceramah lagi. Itulah sahaja masa untuk dia jumpa anak.
Ada satu lagi Saya pernah tulis satu ‘story’ bertajuk ‘Datuk Ismail Kamus dipelawa tinggal di alam ghaib’.
Ceritanya macam ini, bukan Ustaz yang diajak tetapi datuknya. Ya, saya tidak bohong walaupun mungkin ada orang terasa kena bohong selepas baca keseluruhan cerita.
Kejadian berlaku di kampung halaman Ustaz di Batang Rening, Rasa, Hulu Selangor.
Kerbau datuk Ustaz hilang. Masa mencari, datuk Ustaz masuk ke hutan berhampiran kampung mereka di mana dia jumpa seorang lelaki tua di tepi sebuah tasik.
Selepas seronok berbual, lelaki tua itu ajak datuk Ustaz terus menetap di kampungnya. Bukan itu sahaja malah ditawarkannya juga untuk datuk Ustaz berkahwin dengan anak gadis mereka.
Namun pelawaan untuk tinggal di kampung bunian itu ditolak oleh datuk Ustaz atas alasan dia ada isteri dan anak-anak untuk dijaga.
Apabila Ustaz Ismail Kamus masuk PAS dan bertanding pilihan raya, namanya bertambah ‘hot’. Saya diarahkan oleh majikan saya, Haji Mohamad Khairune Ali untuk bawa Ustaz berceramah di rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh.
Itu bukan kali pertama dan mereka memang sahabat baik. Dalam program ceramah Ustaz di tempat yang sama sebelum itu, tidak perlu mohon permit pun.
Datuk Reduan Aslie, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya sebelum itu juga kolumnis akhbar dan akrab dengan kami . Tetapi masa itu saya diberitahu kami perlu mohon permit walaupun program dibuat di kawasan persendirian.
Saya hubungi Datuk Husin Ismail yang ganti Datuk Reduan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah PJ (Datuk Husin kemudian jadi Ketua Polis Terengganu dan akhir sekali Timbalan Ketua Polis Negara). “Sekarang sudah tak sama macam dulu. Ustaz Ismail Kamus sudah jadi orang politik,” kata Datuk Hussin kepada saya.
Dalam proses itu saya pernah ‘bising’ dalam pejabat Polis Cawangan Khas (SB) Petaling Jaya apabila temujanji untuk temuduga bagi mendapatkan permit itu nyaris batal apabila pegawai yang sepatutnya temuduga saya tidak ada di pejabat. Saya diminta untuk datang semula setelah menempuh perjalanan jauh dari Wangsa Maju ke PJ semata mata untuk temuduga itu hanya kerana pegawai berkenaan tidak ada di pejabat tanpa memberi sebarang maklum kepada saya.
Saya beri kata dua kepada mereka sama ada teruskan temuduga dengan pegawai lain atau tidak ada temuduga langsung kerana saya tidak akan datang dua kali untuk melayan orang yang ego, tidak berdisiplin dan tidak profesional semata mata hanya kerana sedikit kuasa yang ada padanya. Akhirnya temuduga diambil alih oleh pegawai lain dan kami langsungkan ceramah itu dengan jayanya. Ambe dulu bekeng boh!
Malam itu, saya ingat lagi… sebelum ceramah, Ustaz enjoy sungguh dengan hidangan kepala kambing. Kepala kambing memang kegemarannya.
Ustaz boleh kata antara personaliti ulama yang paling awal menempa populariti dalam barisan generasinya seangkatan dengan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan beberapa yang lain.
Dulu, kalau perlu berjumpanya saya disuruh datang ke pejabat Bahrulmazi Travel di Kampung Baru. Pegawai yang menguruskannya bernama Haji Ismail.
Kali terakhir saya jumpa Ustaz masa dia masih jadi ADUN Gombak Setia di pejabatnya di Taman Sri Gombak. Selepas saya pindah kerja ke Shah Alam kami tak berjumpa lagi.
Saya juga pernah sekali ke rumah Ustaz di Ampang.
Sebenarnya Ustaz bukan sahaja dikenali di alam manusia tetapi juga di alam jin.
Seorang rakan yang menuntut ilmu perubatan Islam di Darus Salam bercerita, biasa di pusat perubatan itu bising dengan orang yang datang untuk dirawat. Ada yang menangis, meracau, bertempik macam- macam.
Tetapi, mereka yang bising akibat kerasukan ini akan serta merta diam seperti ketakutan setiap kali Ustaz sampai dan sepanjang Ustaz berada di situ.
Kita yang bernama insan ini makhkuk Allah yang istimewa diberi status khalifah. Segala makhluk lain akan tunduk dan hormat jika kita beriman dan beramal soleh seperti Ustaz.
Sekarang Ustaz sudah tiada. Hanya tinggal kenangan abadi untuk kita. Dengan ketinggian ilmu dan amal solehnya, moga Ustaz sentiasa ‘kenyang’ dengan pahala sebagaimana dia pernah berasa kenyang apabila ramai orang mendoakannya ketika ‘kematian’ yang terdahulu.
Perginya Almarhum Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggalkan anak saudaranya, Ustaz Dusuki Abdul Rani untuk kita ingati beliau melalui suara.
Mulai sekarang, kita ada Ustaz Haryanto Rizal Rokman untuk terus menganyam kenangan bersama Almarhum Ustaz Datuk Ismail Kamus, juga melalui suara.
Berbahagialah wahai murabbi ummah untuk perjalanan akhirmu pada pagi Jumaat yang mulia, 15 Ramadan 1441.
Catatan MUHAMAD MAT YAKIM mantan Pengarang Warta Perdana dan kini Felo Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.