SHAH ALAM – Sebanyak 148,432 muat turun dan pendaftaran menggunakan aplikasi SELangkah direkodkan setakat jam 11 malam semalam di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melahirkan rasa bangga apabila jumlah itu dicapai dalam masa singkat kerana mendapat kepercayaan pemilik premis termasuk syarikat-syarikat besar.
“Setakat jam 11 malam semalam, data kita menunjukkan bahawa SELangkah telah digunakan 148,432 yang telah mencetak dan mendaftar di bawah aplikasi ini.
“Kita juga sangat berbesar hati kerana beberapa syarikat yang terkemuka di Selangor menggunakan SELangkah di dalam premis masing-masing seperti di 7-Eleven, F&N, Coffee Bean, SP Setia Berhad dan beberapa syarikat terkemuka
“Ini menunjukkan mereka mempunyai kepercayaan terhadap sistem yang kita ada,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, hari ini.
Terdahulu Amirudin menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan 3,000 naskhah Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada barisan hadapan dan pusat kuarantin Covid-19 Selangor.
Aplikasi SELangkah merupakan sistem pengesanan kontak yang dibangunkan Kerajaan Negeri Selangor untuk pengesanan kontak pengunjung premis perniagaan di negeri itu.
Berbeza dengan aplikasi MyTrace, pelanggan tidak perlu memuat naik sebarang aplikasi.
Pemilik perniagaan hanya perlu mendaftar ke portal SELangkah dan kemudian mencetak kod QR perniagaan mereka. – MalaysiaGazette