SHAH ALAM – Kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol bukan perkara rasis dan ia perlu dihentikan segera melalui hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang terbabit.
Ketua Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan, sudah sampai masanya beberapa tindakan perlu dilakukan untuk mengurangkan kerosakan akibat arak termasuk kehilangan nyawa.
Katanya, langkah untuk meningkatkan hukuman kesalahan terhadap pesalah pemandu mabuk agar lebih menggerunkan pelakunya sebenarnya lebih bersifat untuk kepentingan umum dan merentasi kaum dan agama.
“Ini untuk kepentingan awam, seperti disebut oleh Tan Sri Noh Omar, jangan sampai desakan tingkat hukuman kesalahan pemandu mabuk dilihat sebagai satu rasis.
“Dulu bila Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Agama Selangor suarakan isu sama, (dilihat) seolah-olah hanya untuk kepentingan orang Islam.
“Sebenarnya tidak, tapi ini kita bawa isu ini untuk kepentingan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita. Yang jadi mangsa pun tidak mengira siapa, sebab itu kita kena rasional.
“Kalau Singapura boleh hadkan minum arak dari pukul 10.30 malam sampai 7 pagi, kenapa Malaysia tidak boleh buat,” katanya pada sidang media di bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu pemandu mabuk termasuk kes terbaru yang telah meragut nyawa Koperal Safwan Muhammad Ismail yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Op Covid-19.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa kesal perkara sama yang pernah dibawa Dr. Hasan menjadi isu besar di Selangor ketika era Pakatan Rakyat di Selangor.
“Bukan saja Hassan Ali, dia suarakan akhirnya dia jadi mangsa. Ketika Dr Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor, isu dia melarang papan tanda jualan arak ini pada masa itu dijadikan polemik politik terutamanya DAP.
“Ia seolah-olah nak memberi gambaran bahawa kita nak menghalang hak kebebasan orang bukan Islam, itu tak betul, dari mula saya sudah tegaskan,” katanya.
Noh juga memberi amaran kepada DAP agar tidak menjadikan tuntutan Muafakat Nasional Selangor untuk meningkatkan hukuman kepada pemandu mabuk ini sebagai sesuatu rasis dan menekan hak bukan Islam.
“Saya nak beritahu DAP, jangan nak jadi jaguh pula macam dulu, bila Khir Toyo main isu itu, DAP jadi juara kerana pertahankan hak bukan Melayu.
“Bila Datuk Hasan Ali buat macam itu, Exco sesama Exco bergaduh dan Hasan Ali pula kena ambil tindakan.
“DAP tolong jangan mainkan isu ini sebagai rasis, saya nak beritahu kalau mabuk ini dia tak kira kaum dan rasis, mangsanya juga kita tahu siapa. Tolong…ini demi kepentingan rakyat keseluruhan negara,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Yunus dan Noh dalam kenyataan bersama menggesa kerajaan meningkatkan hukuman kesalahan pemandu mabuk agar lebih digeruni oleh peminum-peminum arak dan meminda peruntukan bagi kesalahan memandu secara berbahaya di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Selain itu, Muafakat Nasional Selangor juga mendesak kerajaan agar menghentikan promosi terbuka yang melibatkan iklan minuman keras, mewujudkan peraturan larangan minum arak kecuali dalam zon tertentu serta mewujudkan peraturan melindungi keluarga mangsa pemandu mabuk. – MalaysiaGazette