KUALA LUMPUR – Hong Leong Bank telah meluluskan kira-kira RM1.3 bilion kemudahan pinjaman di bawah Bantuan Khas Bank Negara Malaysia Kemudahan Bantuan Khas (BNM SRF) setakat akhir bulan lalu.
Kelulusan itu membabit, 1,600 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan borong dan runcit, pembuatan, pembinaan serta sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.
Ketua Perbankan PKS, Terrence Teoh) berkata, fleksibiliti kepada proses permohonan ini telah memberi impak positif bago meringankan beban dan kegelisahan pelanggan.
“Kami membuatnya lebih mudah dan lancar bagi pelanggan apabila mereka boleh mengajukan permohonan melalui emel dan menyelesaikan permohonan melalui penerimaan persetujuan digital.
”Ini bukan sahaja selaras dengan strategi HLB yang mendahulukan pendekatan digital tetapi juga membolehkan kami menolong pelanggan pada masa kritikal Perintah Kawalan Pergerakan, yang mana ada sekatan fizikal yang menghalang proses untuk melaksanakan perkhidmatan bank secara tradisional,” katanya.
HLB juga menawarkan bantuan kepada pelanggan individu PKS dalam program penangguhan pinjaman yang diperkenalkan pada 1 April 2020 untuk jangka masa 6 bulan.
Dengan semua inisiatif ini, Hong Leong berharap bantuan dan sokongan penting pada saat kritikal iniĀ membolehkan PKS terus beroperasi semasa pandemik ini. – MalaysiaGazette