KUANTAN – Mayat buruh yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Jelai, Lipis sejak tiga hari lepas, ditemukan dalam keadaan terapung pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, mayat Asri Sallih, 47, ditemukan pada 8.45 pagi, kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dipercayai tergelincir ke dalam sungai.
“Mangsa dipercayai tergelincir sekitar 12.30 tengah hari Khamis, berdasarkan penemuan tanah runtuh di tebing sungai jeti Kampung Tanjung Jati iaitu tempat mangsa menambat bot.
“Mangsa dipercayai mahu memeriksa dan membuang air yang bertakung dalam bot sebelum keluarganya membuat laporan polis kerana gagal menjumpai mangsa semasa ke jeti itu pada 2.30 petang,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Azli berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa, yang berasal dari Kampung Tanjung Lipis, melibatkan 39 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dibantu lima penduduk kampung.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. – Bernama