KERAJAAN perlu mengambil langkah bagi mengatasi
masalah pengangguran yang dijangka meningkat akibat
daripada penularan virus Novel Koronavirus (Covid-19)
serta penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan dalam
negara kita. Ini susulan pengumuman yang dikeluarkan oleh
pihak Jabatan Perangkaan baru–baru ini yang
menunjukkan kadar pengangguran dalam negara kita
meningkat 17.1% kepada lebih 600,000 orang pada Mac
2020.
Ketua Perangkawan, YBhg. Dato Sri Dr. Mohd Uzir
Mahidin berkata, kira – kira 610,500 orang menganggur
pada suku pertama 2020 berbanding 521,300 orang pada
tempoh sama tahun lalu. Menurut beliau, kadar pengangguran yang tertinggi ini dipengaruhi terutamanya oleh impak negatif perintah kawalan pergerakan ke atas pasaran buruh dalam negara kita. Kumpulan belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi, iaitu 6.9% diikuti 31 hingga 45 tahun (1.4%) dan 46 hingga 64 tahun (1.1%).
Jumlah pengangguran yang meningkat ini tidak boleh
dipandang ringan oleh pihak kerajaan kerana negara kita
masih bergelut dengan penularan Covid-19. Fokus utama
yang harus diberikan oleh pihak kerajaan pada ketika ini
ialah bagi membendung serta menghapuskan sepenuhnya
penularan virus Covid-19. Pada masa yang sama juga keadaan semua negara dalam dunia masih berada dalam tidak menentu akibat daripada penularan virus Covid-19 ini. Sama ada kita suka ataupun tidak, selagi tidak ada vaksin atau penawar ditemui bagi mengubati virus Covid-19, selagi itu lah kita semua terpaksa bersiap sedia hadapi kesan atau impak daripada penularan virus Covid-19 terhadap kehidupan seharian kita semua terutamanya dari segi pekerjaan dan sumber pendapatan.
Penularan Covid-19 serta penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan pekerjaan dalam negara kita ditutup. Penularan virus Covid-19 serta perintah kawalan pergerakan berkenaan juga telah menyebabkan orang ramai tidak berani untuk keluar rumah dan membelanjakan wang mereka seperti dulu. Penutupan banyak sektor ekonomi dan pekerjaan ini serta kurangnya kuasa beli dikalangan orang ramai ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan pekerjaan menghadapi masalah kewangan. Masalah
kewangan yang dihadapi oleh majikan pada kini akan memaksa para majikan untuk mengarahkan pekerja mereka untuk mengambil cuti tanpa gaji, melakukan proses pengurangan gaji serta yang paling teruk sekali melaksanakan proses pemberhentian pekerja ataupun retrenchment.
Kerajaan telah mengambil banyak langkah bagi membantu setiap rakyat Malaysia termasuk golongan pekerja dalam mengharungi masalah ekonomi ini seperti melalui pengenalan program subsidi upah seperti yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada penghujung bulan Mac yang lalu. Namun, pemberian subsidi upah berkenaan tertakluk kepada beberapa syarat tertentu iaitu majikan yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah yang diberikan adalah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja, terhad kepada 200 orang pekerja. Majikan yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, subsidi upah sebanyak RM800 akan bagi setiap pekerja terhad kepada
200 orang pekerja.
Majikan yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang dan ke bawah, subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja terhad kepada 75 orang pekerja. Program subsidi upah ini diperkenalkan bagi mengelakkan pihak majikan khususnya pihak majikan di sektor swasta mengambil langkah singkat dengan melaksanakan proses pemberhentian pekerja secara besar- besaran. Namun, setakat manalah pihak kerajaan mampu menghulurkan segala bantuan kewangan kepada para majikan dan pekerja? Malaysia bukan lah sebuah negara yang kaya raya yang mampu menghulurkan bantuan kewangan sepanjang masa buat selama-lamanya. Dengan tiadanya bantuan kewangan berterusan daripada pihak kerajaan, lambat laun pihak majikan akan terpaksa juga mengambil langkah drastik dengan melakukan proses pemberhentian pekerja, sekali gus meningkatkan lagi jumlah pengangguran.
Amat mustahil untuk memastikan tiadanya pengangguran
dalam mana- mana negara termasuk dalam Malaysia. Namun, kadar pengangguran ini perlulah dikawal supaya ianya tidak menjadi satu masalah yang besar sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara kita serta kehidupan orang ramai. Bagi mengelakkan negara kita hadapi masalah pengangguran yang tinggi, pihak kerajaan perlu mengambil langkah bagi memastikan rakyat kita tidak hadapi kesan atau impak teruk akibat daripada penularan virus Covid-19 ini. Antara langkah yang boleh diberi pertimbangan adalah pihak kerajaan perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji kesan atau impak penularan virus Covid-19 di semua sektor ekonomi dan pekerjaan dalam negara kita serta mencari jalan bagi menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.
Kerajaan perlu mengenal pasti sektor ekonomi dan pekerjaan yang hadapi impak atau kesan teruk akibat daripada penularan virus Covid-19 serta mengambil sebarang langkah segera bagi
membantu sektor yang terjejas teruk berkenaan. Kerajaan juga perlu memberi peringatan kepada semua majikan dalam negara kita supaya mereka tidak melaksanakan langkah pemberhentian pekerja pada ketika ini. Mereka yang bekerja sendiri juga perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan golongan ini terkapai – kapai untuk mencari sumber pendapatan.
Selain itu, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada
golongan belia dalam negara yang susah untuk mendapatkan peluang pekerjaan pada masa kini. Pengangguran dalam kalangan golongan belia harus dikawal dengan baik bagi mengelakkan mereka terjebak dengan masalah sosial ataupun berhijrah ke negara asing sehingga berlakunya kehilangan sumber kepakaran tempatan ataupun brain drain. Pihak kerajaan perlu melihat kembali dasar pengambilan pekerja asing. Memandangkan keadaan ekonomi dalam negara kita tidak menentu pada masa kini, keutamaan pekerjaan patut diberikan kepada pekerja warga tempatan.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan,Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)