Home SISWA UIAM pusat kepakaran serantau pendidikan RCE

UIAM pusat kepakaran serantau pendidikan RCE

Rektor UIAM (tengah) dan kakitangan UIAM menerima sijil pengiktirafan RCE Greater Gombak.

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diisytihar sebagai Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE) selepas menerima sijil pengisytiharan tersebut oleh United Nation Universiti (UNU), yang mana pembangunan lestari adalah salah satu agenda Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Usaha ini telah dimulakan oleh UIAM sejak 18 bulan lalu dan mula mendapat pengiktirafan selaku pusat kepakaran serantau pada 1 april 2020.

Dengan merangkumi tiga aspek kelestarian iaitu Transformasi kemasyarakatan, kerohanian dan kelestarian serta akhir sekali kesejahteraan yang dijalankan oleh UIAM.

RCE adalah jaringan kerjasama antara individu, pakar dan organisasi yang komited dalam membina masa hadapan lestari melalui pendidikan.

UIAM sebagai peneraju RCE, giat menjalankan aktiviti dan initiatif untuk pendidikan bersama masyarakat, industri dan badan bukan kerajaan(NGO) dalam memastikan pembangunan lestari yang berterusan.

Pusat kepakaran serantau ini diberi nama RCE Greater Gombak dan ini adalah yang pertama seumpamanya yang berteraskan fungsi dalam pendidikan untuk pembangunan lestari.

Untuk rekod, kesemua pusat kepakaran serantau berteraskan geografi kecuali RCE Greater Gombak UIAM sahaja yang berlandaskan fungsi.

Di bawah RCE Greater Gombak ini, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti dan initiatif pendidikan lestari bersama masyarakat, industri dan sektor kerajaan. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pendidikan asnaf di Perlis, pelancongan lestari di Pagoh, Johor, kesihatan lestari di Kuantan, Pahang dan sekolah sejahtera di Terengganu.

UIAM kini menyertai 180 pusat kepakaran serantau di dunia yang memberikan fokus kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.

Menurut Rektor UIAM, Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ketika di temui beliau berkata, peranan UIAM kini lebih besar dan meluas.

UIAM sentiasa mendukung segala usaha dalam melestarikan pendidikan supaya masyarakat sekeliling kita tidak ketinggalan. Usaha ini adalah akan membentuk generasi masa hadapan.

”Ini bermakna sekarang universiti ini mempunyai peranan global dalam menentukan pendidikan bagi membina masyarakat disekeliling kita. Ini adalah satu rencana dibawah bangsa bangsa bersatu dimana sekarang ini Pendidikan diberikan keutamaan dalam menentukan apakah bentuk masa hadapan yang kita akan ungkapkan bersama bukan sahaja bagi universiti tapi bagi masyarakat sekitarnya,” katanya. – MalaysiaGazette