KUALA LUMPUR – Benar sebenarnya pepatah Inggeris ‘old habits die hard’ yang bermaksud tabiat lama sukar diubah atau dibuang.
Itulah yang dapat kita kaitkan dengan sikap segelintir pemimpin DAP yang suka mengeluarkan kenyataan tidak penting atau berkaitan kebanyakan untuk mencari publisiti.
Rata-rata kenyataan atau bidasan itu juga akhirnya akan ‘senyap’ atau ianya akan menjadi viral untuk seketika, ada kalanya sasaran segelintir individu, parti politik atau kumpulan hanya akan menyebabkan masyarakat umum menjadi lebih tegang.
Kadang-kadang tidak tahu juga mengapakah kenyataan itu dikeluarkan, jika tersalah tidak akan ada sebarang permohonan maaf sebaliknya di diamkan begitu sahaja, jika pihak lain selalunya ‘di tekan’ sehingga ada maklum balas atau maaf darinya kepada umum.
Terbaru, sejak seminggu lalu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara pula menjadi ‘sasaran’ kritikan politik pimpinan DAP kalangan bangsa India.
Walaupun Edmund telah tampil membetulkan kenyataan yang diberikan kepada sebuah portal berita berhubung sentimen ‘anti Rohingnya’ malah menafikan dirinya ada menyebut atau mengaitkannya dengan DAP, namun pimpinan parti seolah-olah tidak peduli sebaliknya terus mengkritik.
Sejurus selepas beberapa portal mengeluarkan laporan berita ‘DAP linked people’ behind anti-Rohingya messages says Deputy Minister (Edmund), lantas Ahli Parlimen Segamat itu tampil membetulkan dan menjelaskan isu itu.
Pada 1 Mei lepas, Edmund terus menulis menjawab penafian itu malah menjelaskan dirinya telah di salah tafsir dalam laporan media.
Media juga telah menyiarkan penafian dan pembetulan tersebut.
Namun peliknya, pemimpin DAP seperti tidak endah penafian itu sebaliknya terus menggunakan artikel tidak betul untuk terus menyerangnya tidak henti-henti.
Ketika MalaysiaGazette melontarkan persoalan apakah sebenarnya yang telah berlaku, Edmund pula meluahkan rasa terkejut malah terkilannya terhadap pemimpin-pemimpin itu padanya cuba membesarkan isu yang sebenarnya tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Sebaliknya dengan berterusan mengkritik, mungkin publisiti serta memburukan beliau yang kini lebih lantang terutamanya dalam isu berkaitan warga asing termasuk Rohingnya membanjiri ibu kota.
“Sebenarnya media salah tafsir, saya pelik juga kerana saya hanya bercakap dengan satu media tapi media lain juga ada membuat laporan temuramah saya yang tidak betul.
“Saya tidak berbuat apa-apa kerana tidak mahu perbesarkan perkara, kita banyak lagi perkara perlu diberikan fokus.
“Pada hari yang sama saya telah perbetulkan temuramah saya malah berita Astro Tamil juga media lain termasuk akhbar telah menyiarkan pembetulan itu. Jadi saya tidak faham mengapa pemimpin DAP berterusan cuba kritik saya.
“Ahli Parlimen Batu Kawan (DAP), Kasthuri Patto menggunakan perkataan-perkataan tidak senonoh seperti penyangak tidak malu atau ‘shameless rascal’ mengkritik temuramah saya kononnya saya telah kaitkan sentimen anti Rohingnya dengan DAP.
“Kasthuri juga memanggil saya sebagai seorang yang tidak terpelajar dan ‘bodoh’ sedangkan jika anda lihat latarbelakang pendidikan serta kelayakan sehingga menjadi seorang ahli perniagaan berjaya kemudian menyertai politik mungkin daripada lebih layak. Pergilah semak sendiri profil saya, anda boleh jumpa kerana terlalu panjang untuk saya senaraikan sebenarnya.
“Sebenarnya saya juga tidak pastilah bagaimana Kasthuri boleh gelar saya seumpama itu? Saya adalah pelajar yang mendapat CGPA 4.0, ‘educated’ macam mana lagi anda mahu dari saya? Jangan cuba jatuhkan seseorang seperti ini.
“Mengapakah seorang ahli politik sepertinya lagi-lagi mendiang bapanya seorang ahli politik veteran yang sungguh berpengaruh, P Patto boleh mengeluarkan kenyataan menggunakan perkataan-perkataan tidak senonoh?
“Ini bukan caranya, gunakan perkataan lebih elok untuk gambarkan rasa tidak puas kamu itu. Banyak lagi cara untuk luah rasa hati kamu itu, sebelum itu anda juga perlu cari fakta betul juga,” katanya mulakan bicara.
Sambung Edmund lagi, secara berterusan kemudian pemimpin DAP menyerangnya walaupun selepas memberikan penjelasan itu seolah-olah ada agenda.
“Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy kritik saya kononnya saya sengaja mengaitkan pemimpin DAP untuk cita-cita politik dalam PN. Cita-cita apa? Saya tidak perlu jatuhkan DAP untuk kepentingan diri saya. Janganlah berlawak.
“Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago menuduh saya terdesak dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas yang sebenarnya untuk timbulkan kebencian serta keadaan huru hara ketika ini. Jika anda cakap begitu, adakah semuanya selesai?
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam (DAP), Satees Muniandy pula menuduh saya cuba menangi hati pemimpin-pemimpin UMNO dengan mengeluarkan kenyataan anti DAP. Apa perlunya saya buat begitu?
“Mengapa tidak ada seorang peduli tentang penafian itu, sebaliknya benda yang tidak betul dan palsu itu yang kamu jadikan sebagai bahan untuk terus mengelirukan umum. Mengapa begitu?
“Akhirnya apa yang anda semua dapat? Mungkin sedikit ‘likes’ dan komen dan perkongsian segelintir penyokong kamu, itu sahaja? Mengapa buang masa seperti ini. Saya sebenarnya memang tidak mahu berikan reaksi kerana ini kerja sia-sia.
“Mengapakah semua ini? Untuk apa? Kritikan dan serangan itu juga terlalu peribadi, apakah dengan mengeluarkan kenyataan seperti rakyat mendapat faedah? Cukuplah. Apa kata kita semua buat kerja untuk rakyat. Bukankah itu sebaiknya? Sabar, jangan melompat tanpa fakta sebetulnya,” tegasnya.
Edmund kemudian menarik perhatian kenyataan dalam Facebook Kasthuri yang sekali lagi mengkritiknya berhubung pemecatan dalam PKR baru-baru ini.
“Tulis Kasthuri saya penipu dan telah memperbodohkan umum. Pelik betul kamu sebenarnya, apakah anda tidak mempunyai kerja lain selain menyerang dan menyerang tanpa fakta?
“Saya tidak pernah keluar PKR sebaliknya saya dipecat pada 3 April lepas, surat pemecatan juga telah dihantar melalui Whatsapp sambil dimaklumkan surat rasmi yang dihantar melalui courier.
“Sepatutnya biro disiplin menghantar surat terlebih dahulu bukannya melalui whatsapp, beri ruang kepada saya, yang sepatutnya surat tunjuk sebab dulu. Bagaimanapun, saya bukan hendak bercakap tentang ini sebaliknya cara Kasthuri serang.
“Apa motif kamu? Berterusan mengutuk? Mungkin sebenarnya sudah tiba masa untuk kamu bekerja sebagai wakil rakyat kepada yang telah mengundi kamu, fokus apa yang kamu boleh buat untuk pengundi dan warga Pulau Pinang.
“Kerajaan negeri milik kamu, jadi banyak lagi boleh di lakukan daripada kamu main politik seperti ini. Banyak juga isu di Pulau Pinang yang boleh kamu fokus pada masa sama. Sekurang-kurangnya buat itu dulu.
“Walaupun kamu menggunakan perkataan-perkataan tidak begitu baik dalam meluah perasaan, perasaan hormat saya kepada mendiang bapa kamu masih sama,” ujarnya. –MalaysiaGazette
Dah namanya pembangkang. Buat fitnah tugas utamanys lah. Apa YB nak rasa hairan. Mereks bukan boleh buat kerjs pun. Asyik lah mengata orang.