Home Nasional Kerajaan perlu perhalusi tiada rakyat yang layak tercicir dapat BPN

Kerajaan perlu perhalusi tiada rakyat yang layak tercicir dapat BPN

Shahir Adnan

PUTRAJAYA – Kerajaan diminta supaya memperhalusi proses Bantuan Prihatin Nasional (BPN) supaya tiada lagi keciciran dalam kalangan rakyat yang layak serta mengelakkan berlakunya pemberian kepada golongan yang mampu dan kaya.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pengkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri seharusnya diselaraskan mengikut data semasa dan bukannya menggunakan pengkalan data berdasarkan tahun 2018.

“Pada tahun 2019, terlalu banyak insiden yang berlaku, menyebabkan rakyat hilang pekerjaan.

“Tahun 2019 di bawah Pakatan Harapan menyaksikan kerajaan ketika itu bukan sahaja gagal mewujudkan peluang pekerjaan, malah gagal mengekalkan pekerjaan rakyat yang sedia ada,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Dengan memberikan contoh beribu-ribu pekerja hilang sumber pendapatan seperti pengamal media di Utusan Melayu Malaysia Berhad, staf sektor penerbangan di Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dan pekerja di GLC di mana banyak aset negara dijual Shahir berkata, mereka umpama jatuh ditimpa tangga apabila gagal mendapatkan manfaat BPN kerana LHDN menggunakan data 2018.

Dalam pada itu katanya, DPIM menggesa LHDN supaya memburu dan mengejar golongan yang lari daripada membayar cukai, tetapi mendapat manfaat BPN.

Ujarnya, amat mengejutkan apabila terdapat bekas-bekas wakil rakyat, bekas menteri dan timbalan menteri yang layak menerima BPN, seperti yang tular di laman sosial.

“Bayangkan, mereka ini bergaji puluhan ribu Ringgit dan hidup senang. Mengapa ambil hak golongan yang memerlukan?

“DPIM ingin mencadangkan kerajaan untuk mengurangkan proses birokrasi kepada staf barisan hadapan untuk mereka mendapatkan elaun yang diperuntukkan ketika berperang dengan wabak Covid-19.

“Seharusnya, elaun ini diberikan secara otomatik demi menghargai jasa dan pengorbanan mereka sejak krisis ini melanda,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. setuju dn tolak parti ph dn sekutunya. golongan miskin harus dibela dn bukan golongan kayaraya pula yg bemaharajalela

Comments are closed.