PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan ke Kabinet bagi mengenalpasti tiga projek baharu pembinaan unit rumah di Putrajaya dengan penekanan terhadap kediaman yang mampu dibeli oleh pembeli muda.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, peningkatan jumlah penduduk di wilayah tersebut meningkat dengan mendadak ketika ini namun, harga tanah untuk mendirikan rumah di kawasan itu terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh golongan tersebut.
Justeru katanya, konsep yang akan dilaksanakan pada tahun ini oleh kerajaan ialah supaya pembeli boleh membeli pada usia yang lebih muda bagi rumah kediaman yang harganya RM200,000 ke bawah.
“Sekarang ini rumah mampu milik kita 300,000 dan daripada semakan Kementerian Wilayah terdapat separuh daripada yang memohon nak beli itu tidak mendapat kelulusan pembiayaan bank kerana pendapatan mereka dan bayaran bulanan tidak mencukupi.
“Mereka nak rumah dan cuba memohon tapi tak mendapat kelulusan kerana harga rumah sedikit lebih tinggi daripada pendapatan mereka. Jadi kita galakkan mereka memiliki rumah di usia muda. Mereka boleh dapatkan pinjaman tempoh yang lebih panjang hingga 30 tahun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Al-Mushaf di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, kerajaan bercadang untuk membina sebuah lagi masjid di Putrajaya menjadikan ia rumah ibadah ketiga bagi orang Islam yang jumlahnya hampir 90 peratus di kawasan tersebut.
Katanya, langkah itu wajar kerana apabila ada pertambahan penduduk terutama dalam kalangan orang Islam sudah pasti masjid menjadi keperluan untuk diadakan segera. – MalaysiaGazette