KUALA LUMPUR – Dalam memastikan tiada lagi individu yang layak tercicir mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sepatutnya menyelaraskan pangkalan datanya mengikut data semasa, bukannya menggunakan data tahun 2018.
Ini kerana, pada tahun 2019 semasa Pakatan Harapan memerintah, terlalu banyak insiden yang berlaku, menyebabkan rakyat hilang pekerjaan, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Beribu-ribu pekerja hilang sumber pendapatan semasa kerajaan terdahulu memerintah akibat kegagalan PH kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan, malah gagal mengekalkan pekerjaan rakyat
yang sedia ada.
Contohnya penutupan Utusan dan pemberhentian kakitangan Malaysia Airlines Berhad (MAS).
Malah, kakitangan syarikat milik kerajaan juga terjejas selepas banyak aset negara dijual.
Malangnya, golongan ini umpama jatuh ditimpa tangga apabila gagal mendapatkan manfaat BPN kerana menggunakan data 2018.
Berhubung isu yang sama, Shahir menggesa LHDN untuk memburu dan mengejar golongan yang lari daripada membayar cukai, tetapi mendapat manfaat BPN.
”Amat mengejutkan apabila terdapat bekas-bekas wakil rakyat, bekas Menteri dan Timbalan Menteri yang layak menerima BPN, seperti yang tular di media sosial. Bayangkan, mereka ini bergaji puluhan ribu ringgit dan hidup senang. Mengapa ambil hak golongan yang memerlukan?,” soalnya.
DPIM turut meminta kerajaan mengurangkan proses birokrasi kepada kakitangan barisan hadapan untuk mereka mendapatkan elaun yang diperuntukkan ketika berperang dengan wabak Covid-19.
Seharusnya, kata beliau, elaun ini diberikan secara automatik demi menghargai jasa dan pengorbanan mereka sejak krisis ini melanda.
”Mengapa tidak masukkan terus elaun tersebut bersama-sama gaji bulanan mereka?,” soal beliau lagi. – MalaysiaGazette