KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membuka kembali Kedai Tenaga secara berperingkat bermula esok sejajar dengan langkah Kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor perkhidmatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Waktu operasi Kedai Tenaga adalah 9 pagi sehingga 4 petang manakala kiosk pembayaran layan diri pula beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
Sejumlah 47 Kedai Tenaga dan 31 kios pembayaran layan diri di lima negeri yang diisytihar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai zon hijau bakal kembali beroperasi. Lima negeri itu ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (kecuali di Sri Manjung) dan Kelantan.
Tarikh pembukaan semula Kedai Tenaga dan kios pembayaran layan diri di negeri-negeri lain akan diumumkan kelak.
”Kedai Tenaga di seluruh negara telah ditutup buat sementara sejak 19 Mac 2020 bagi mengelak penyebaran virus COVID-19. Sebagai alternatif, pelanggan boleh menggunakan portal dan aplikasi myTNB untuk perkhidmatan berkaitan TNB tanpa perlu keluar dari kediaman masing-masing,” kata Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Menurutnya, persiapan juga telah dilakukan mengikut peraturan-peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memelihara keselamatan pelanggan dan pegawai.
Langkah berjaga-jaga yang dilakukan di Kedai Tenaga termasuk memastikan pelanggan memakai topeng penutup mulut dan hidung, memeriksa suhu badan, memberi butiran diri sebelum memasuki premis untuk tujuan pengesanan kontak, menggunakan cecair nyah kuman serta mengamalkan penjarakan sosial.
Sehubungan itu, para pelanggan di Kedai Tenaga dinasihatkan untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan ini.
Selain itu, operasi bacaan meter TNB akan dijalankan secara berperingkat mulai 15 Mei ini di kawasan zon hijau.
Oleh itu, seramai 7.5 juta pelanggan kediaman akan menerima bil dengan bacaan sebenar.
TNB, juga katanya, menggalakkan pelanggan menggunakan portal myTNB di www.tnb.com.my atau muat turun aplikasi myTNB secara percuma melalui Google Play Store atau Apple App Store bagi membayar bil mereka.
Pelanggan juga boleh melakukan transaksi lain di myTNB seperti pertanyaan bil, permohonan bekalan elektrik bagi kediaman baru dan pemotongan bekalan sekiranya berpindah.
Selain itu, TNB juga menawarkan saluran alternatif bagi pembayaran digital seperti JomPAY dan perbankan Internet. Pelanggan juga boleh membuat pembayaran secara tunai di cawangan Pos Malaysia, 7-Eleven, 99 Speedmart, KK Mart, Kedai Mesra Petronas, Shell Select dan Ejen Bank Berdaftar di kedai BSN.
Bagi setiap transaksi pembayaran, pelanggan hendaklah memastikan mereka menerima resit dan menyimpannya sebagai bukti pembayaran. – MalaysiaGazette