KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyiasat dakwaan kononnya tiada tempat untuk peniaga Bumiputera membuka perniagaan di pusat beli-belah Times Square di Jalan Imbi di sini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerima laporan premis perniagaan di pusat beli belah berkenaan yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diserahkan kepada bukan Bumiputera sahaja.
Katanya, DBKL telah melabur sebanyak RM150 juta untuk memiliki dua ruangan di tingkat satu dan tingkat empat di kompleks beli belah berkenaan yang sepatutnya diberikan kepada Bumiputera untuk berniaga.
“Oleh kerana saya tak berapa nak puas hati dengan kenyataan itu saya datang nak melihat sendiri keadaan dan suasana sebelum kita terima saja fakta ianya patut diberi kepada bukan bumi yang berbeza dengan tujuan asal.
“Saya fikir kita patut melihat kepada pilihan membuka ruang kepada Bumiputera yang kecil-kecil untuk menyewa mungkin 150 kaki persegi untuk jual dan kalau buat begitu mungkin lebih 100 Bumiputera boleh berniaga di situ,” katanya ketika di temui di sini hari ini.
Menurut Annuar, perniagaan di situ boleh sahaja dikongsi bersama kepada bukan Bumiputera tetapi peluang perlulah diberikan kepada Bumiputera terlebih dahulu.
Terdahulu, Annuar membuat lawatan mengejut ke pusat beli-belah berkenaan selepas menerima laporan berhubung dakwaan premis-premis tersebut hendak diberikan kepada bukan Bumiputera.
Perkara tersebut berbangkit dalam mesyuarat yang diadakan bersama DBKL.
Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, beliau mahu melihat golongan Bumiputera terutama orang muda berniaga di kompleks beli seperti Times Square.
Katanya, Bumiputera harus diberi peluang untuk sama maju dengan bukan Bumiputera dan itu merupakan matlamat DBKL membeli premis-premis di kompleks berkenaan.
“Saya akan cari jalan supaya mereka boleh berniaga di tempat sebegini. Takkan kita nak lihat Bumiputera ini berniaga di Jalan Raja Alang atau Jalan Raja Bot selama-lamanya. Saya nak tengok anak-anak muda masuk berniaga di kompleks beli-belah yang besar macam ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette