KUALA LUMPUR – “Meskipun sebelah kaki kita berada di pentas kerajaan hari ini, tidak banyak yang dapat dibanggakan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, penyertaan dan sokongan UMNO hanyalah untuk menamatkan pemerintahan ala politburo dan mengekang berlanjutnya era pemerintahan dinasti di negara tercinta.
Ia juga, katanya, turut menamatkan era kegilaan kuasa dan penipuan yang telah membelenggu rakyat selama 22 bulan.
“Kita tidak megah dengan kuasa, kita bukan gila kuasa tetapi perjuangkan laluan masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat. Dengan Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam dijadikan tiang serinya, keterlanjuran silam boleh dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Presiden UMNO sempena ulang tahun UMNO ke-74 hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO hari ini belum ada kuasa penuh untuk mencantumkan semua aspirasi rakyat malah masa depan parti itu masih dihampar laluan berliku.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga melihat perjalanan UMNO masih jauh dengan pelbagai cabaran sentiasa mendatang, justeru semua ahli perlu bertekad untuk bersatu hati demi mengukuhkan parti dan sedia menterjemahkan impian kepada kenyataan.
Beliau juga mengingatkan semua ahli UMNO bahawa ini bukan masa untuk duduk bertimpuh dan bertatih lagi.
Parti, katanya, memerlukan kesinambungan kepemimpinan yang mampu membawanya mencapai matlamat bangsa dan negara.
“Masa depan parti terletak di bahu semua ahli. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang mengaturnya,” katanya.
Sempena ulang tahun UMNO, Ahmad Zahide merayu semua pihak dalam parti agar ditamatkan percaturan politik peribadi kerana ia sudah menyaksikan tercetusnya pelbagai masalah dalaman parti.
“Jika kita menjurus kepada perpaduan tekad dan kesetiaan kepada pemimpin, saya yakin UMNO tidak lagi boleh diganggu-gugat,” katanya.
Di awal perutusan, beliau melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana memelihara kewujudan parti tertua ini, parti yang sinonim dengan kemerdekaan negara selari dengan hasrat Melayu/Bumiputera dan sejajar dengan aspirasi rakyat Malaysia amnya.
“Dalam tempoh usia 74 tahun, UMNO sedang meniti usia yang amat matang dan mengerti denyut nadi Melayu dan bangsa lain negara ini. UMNO juga amat memahami tuntutan Islam serta kehendak dan keperluan orang-orang Islam.
“UMNO bukan lagi eksklusif untuk Melayu tetapi telah menyorot perbezaan bangsa dan agama, dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.
Namun, kematangan tersebut, kata Ahmad Zahid, tidak seharusnya disambut dengan kealpaan dan terjerat dalam keselesaan.
Beliau berkata, Pilihanraya Umum ke-14 sudah banyak mengajar erti perlunya UMNO menggarap harapan setiap rakyat pelbagai kaum.
UMNO, menurut Ahmad Zahid, mesti diangkat sebagai pegangan ideologi politik rakyat yang dahagakan kelestarian hidup dan masa depan lebih terjamin. – MalaysiaGazette
Rakyat dh totally tolak klepto umno.. Sedar diri lh sikit
Perasan masih ada kuasa ke kelakar