PUTRAJAYA – Kes dua beradik yang disahkan positif Covid-19 di Perak kelmarin berkemungkinan kes sporadik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan yang dilakukan mendapati mereka positif wabak itu meskipun kedua-dua mangsa duduk di rumah selama dua bulan.
“Kalau kita lihat (kes) yang telah dikenal pasti ini mungkin kes sporadik.
“Kita dapat kesan (kes dua beradik itu) sebab dia menjalankan ujian sebelum kembali bekerja.
“Jadi kepatuhan kilang tersebut atau individu tersebut yang menjalankan saringan adalah baik sebab kita dapat kenal pasti kes-kes yang sporadik dan kes sporadik (di Malaysia) tidak ramai dan semakin berkurangan,” katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes dua beradik tersebut yang didapati positif Covid-19 meskipun hanya berada di rumah dalam tempoh dua bulan.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua beradik di Perak yang disahkan positif Covid-19.
KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak kini sedang menjalankan siasatan berhubung punca dua beradik itu dijangkiti wabak berkenaan.
Kes terbaharu itu juga turut membuatkan Perak bukan lagi bebas Covid-19 disebabkan kes dua beradik berkenaan.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, mana-mana penumpang penerbangan domestik di Semenanjung tidak akan dikuarantin.
Jelas beliau ini kerana ia melibatkan kawasan sama dan hanya penumpang Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sahaja akan dikuarantin selama 14 hari.
“Mereka yang ke Sabah dan Sarawak ada kuarantin selama 14 hari. Jadi kuarantin di Kuching contohnya, dan mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan sampel akan diambil. Kalau negatif baru dibenarkan pulang ke rumah mereka.
“Salah satu sebab adalah ia tertumpu di Kuching dan kalau mereka kembali ke rumah mereka di kawasan pedalaman jadi mungkin mereka positif atau bergejala, susah untuk mereka datang dapatkan rawatan ke Kuching.
“Di semenanjung kita tidak ada kuarantin,” katanya lagi.
Sebelum ini, KKM berkata hanya penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang pulang ke Sabah dan Sarawak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
Kata Noor Hisham, tempoh kuarantin itu bagi memastikan mereka yang mempunyai simptom jangkitan Covid-19 akan dapat diberikan rawatan segera oleh petugas kesihatan. -MalaysiaGazette