KUALA LUMPUR – Jururawat adalah tonggak kekuatan sistem penjagaan kesihatan dunia, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N. Ganabaskaran.
“Kami ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jururawat di negara ini atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dalam penjagaan kesihatan negara, terutama atas pengorbanan dan khidmat mereka dalam tempoh yang sukar ini memerangi pandemik COVID-19.
“Semoga selamat, kami bersama anda semua,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik mesej dari laman Facebook beliau.
Mewakili MMA, beliau juga menyanjung semua Florence Nightingales di seluruh dunia sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia dan bahawa tiada perkataan yang dapat menggambarkan pengorbanan, kasih sayang dan layanan mereka terhadap pesakit.
Hari Jururawat Sedunia disambut di seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun, untuk menghargai sumbangan yang diberikan jururawat kepada masyarakat dan tema tahun ini adalah Nurses: A Voice to Lead – Nursing the World to Health. – Bernama