Home Nasional Premis perniagaan disaran catat nama dan nombor telefon pelanggan sahaja

Premis perniagaan disaran catat nama dan nombor telefon pelanggan sahaja

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan mencadangkan supaya pemilik perniagaan hanya merekodkan nama dan nombor telefon pelanggan yang memasuki premis masing-masing bagi memudahkan proses penjejakan kontak sekiranya berlaku kes Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau memahami kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan diri apabila terpaksa mendedahkan alamat dan nombor kad pengenalan sebelum dibenarkan memasuki satu-satu permis perniagaan.

“Butiran peribadi ini penting bagi memudahkan proses penjejakan kontak sekiranya ada berlaku kes positif Covid-19 tetapi saya juga faham mengenai kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan mereka.

“Mereka risau nombor kad pengenalan tersebut disalah guna dan alamat kediaman juga didedahkan kepada pihak yang tidak bertanggung jawab.

“Pada pendapat saya, kita boleh menggunakan kaedah Gerak Malaysia iaitu hanya menyatakan nama penuh dan nombor telefon untuk dihubungi, itu sudah memadai,” katanya semasa sidang media hari ini.

Menyentuh mengenai aplikasi Gerak Malaysia dan pergerakan pulang orang ramai dari kampung ke kediaman masing-masing, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia telah meluluskan 401,253 permohonan pergerakan rentas negeri bagi mereka yang terkandas dari 3 Mei sehingga 10 Mei lalu.

Katanya, beliau berpuas hati dengan pergerakan tersebut yang lancar dan aman.

Tiada kemalangan dilaporkan dan keadaan di kawasan rehat dan rawat juga tidak sesak.-MalaysiaGazette