Home Utama Rakyat perlu sedia terima kebiasaan baharu dalam kehidupan – Sultan Nazrin

Rakyat perlu sedia terima kebiasaan baharu dalam kehidupan – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun ketiga, Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar rakyat bersedia melakukan pengubahsuaian untuk menerima budaya kerja, budaya sosial dan budaya hidup yang baharu susulan penularan wabak COVID-19.

Baginda bertitah budaya kerja dalam usaha membendung penularan dan meminimumkan pendedahan kepada virus akan merubah tingkah laku dan norma sosial serta bakal melahirkan ‘kebiasaan baharu’

“Cara bekerja, cara berurus niaga, cara mengurus kewangan, cara beribadah, cara keraian, cara berekreasi dan cara menjalani kehidupan seharian akan berubah,” demikian titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun ketiga, Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah pengorbanan setiap rakyat dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat diperlukan untuk membolehkan negara menewaskan ancaman COVID-19 yang menyerang kehidupan warga, menjejaskan alam pendidikan serta mengganggu dunia pekerjaan.

“InsyaAllah kejayaan warga menangani ancaman ini secara berkesan, akan membolehkan negara kembali membina kejayaan hari esok dan masa hadapan yang lebih gemilang,” titah Sultan Perak.

Sebagai menghargai jasa serta pengorbanan barisan hadapan dalam memerangi penularan COVID-19, Sultan Nazrin turut mengajak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta yang berada dalam dewan supaya berdiri dan memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda apresiasi kepada wira-wira negara.

“Kakitangan Kementerian Kesihatan membuktikan kepada warga bahawa mereka adalah aset amat berharga kepada negara, kepada bangsa.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak antaranya polis, tentera, bomba, Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat, penjawat awam dan badan-badan media yang masing-masing memainkan peranan penting dalam mengekang penularan COVID-19,” titah Sultan Nazrin.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Pakatan Harapan (PH) kerana khidmat terbaik selama 22 bulan menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat.

Kepada pentadbiran baharu, Sultan Nazrin bertitah: “Kepercayaan Beta yang mahukan sebuah pentadbiran yang amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa dijunjung. Harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin bersih, tidak menyalahgunakan kuasa, wajib dipenuhi.

“Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya, kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, percaturan politik yang keterlaluan atau dorongan sifat tamak serta haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan”.

— BERNAMA