Home Nasional Cynthia Gabriel diberi tempoh 7 hari balas notis tuntutan fitnah Menteri Kesihatan

Cynthia Gabriel diberi tempoh 7 hari balas notis tuntutan fitnah Menteri Kesihatan

Ketua pasukan guaman Menteri Kesihatan, Reginder Singh (kanan) dan peguam Menteri Naseer Yusof menyerahkan notis tuntutan fitnah kepada Peguam Syarikat C4, Asheeq Ali Sethi Alivi di Avenue 8, Petaling Jaya Selangor.

PETALING JAYA – Pengarah C4 Consultancy Sdn. Bhd., Cynthia Gabriel diberi tempoh tujuh hari, bermula hari ini, untuk membalas dan menjawab notis tuntutan fitnah daripada Menteri Kesihatan terhadap satu kenyataan media di laman sesawang syarikat tersebut.

Ketua pasukan guaman Datuk Seri Dr. Adham Baba, Reginder Singh berkata, pihaknya akan mengkaji jawapan Cynthia dan menanti arahan daripada menteri itu untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya terdapat kemungkinan untuk memfailkan writ saman, kita akan memfailkan writ saman di mahkamah tinggi dalam masa terdekat.

“Kami telah memberi masa tujuh hari kepada mereka untuk membalas notis tuntutan bermula hari ini dan sekiranya mereka respon dalam tempoh tujuh hari, tindakan selanjutnya akan dikaji dan jika pihak berkenaan mahukan masa tambahan juga akan dibincang dengan menteri semula untuk mendapatkan persetujuannya sama ada boleh diberikan lanjutan.

“Kalau tidak ada jawapan (tidak mahu bersetuju dengan tuntutan kami) dari mereka, maka writ saman akan difailkan ke atas mereka berdasarkan arahan anak guam kami (menteri),” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan notis tersebut hari ini.

Notis tuntutan fitnah itu diterima oleh peguam C4 Consultancy, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Sementara itu, seorang peguam yang mewakili Dr. Adham, Naseer Yusof memberitahu, notis tuntutan fitnah itu dikemukakan kepada syarikat yang diuruskan Cyntia bagi menuntut syarikat itu memohon maaf melalui media arusperdana, laman sesawang syarikat http://c4center.org dan sosial media dengan menarik balik tohmahan yang ditujukan kepada Dr. Adham.

Menurut beliau, C4 Consultancy dalam laman sesawangnya telah menyiarkan satu kenyataan media yang menyatakan kontrak pembekalan Covid-19 bernilai RM30 juta itu mengguna proksi, Iskandar Mirza.

“Oleh demikian tohmahan itu telah merosakkan imej dan kedudukan anak guam kami, Menteri Kesihatan.

“Berkenaan tuntutan ini diberi tempoh tujuh hari, selajutnya sekiranya tidak ada tindakan jawapan konkrit disokong bukti kukuh dari pihak Cyntia Gabriel, tuntutan kita adalah bayar ganti rugi, permohonan maaf dan penarikan balik artikel.

“Kalau dia tidak mahu dengan tuntutan atau dengan bersetuju dengan tuntutan Menteri, maka saya rasa ketua litigasi dan pasukan peguam akan sediakan writ saman dan pernyataan tuntutan mengikut konsultasi anak guam kelak dan akan dimajukan ke mahkamah tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette