KUALA LUMPUR – Mengejutkan sekali apabila ada dakwaan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) banyak panggilan penipuan (scammer) diterima oleh orang ramai.
Antara panggilan-panggilan palsu itu termasuklah mendakwa dari Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi kerajaan lain yang menuntut penerima panggilan untuk mendedahkan butiran peribadi termasuk perbankan.
Selain itu, sindiket penipuan skim pelaburan juga semakin aktif dan agresif memperdayakan mangsa dengan mengajak orang ramai mencari wang dalam situasi ‘berkurung’ di rumah kerana Covid-19.
Malah sejak bulan lalu, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) telah dihujani panggilan telefon daripada pelbagai latarbelakang pengguna yang membuat aduan tentang dakwaan yang sama.
Menurut Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George, pihaknya telah menerima aduan lebih 500 panggilan daripada orang atau agensi tidak dikenali telah diterima bagi pelbagai tujuan ‘tidak masuk akal’.
“CASSA ada menerima lebih 500 aduan, itu bukanlah satu angka sedikit sebenarnya. Persoalan saya bagaimana ini berlaku dengan begitu mendadak?
“Para pengadu pula memberitahu kami, panggilan yang diterima juga pelik sekali kerana pemanggil memberitahu sesuatu yang tidak logik atau berkaitan langsung dengan mereka. Ada juga yang tertipu kerana terlampau cemas.
“CASSA kemudian membuat siasatan di pelbagai lokasi perniagaan serta agensi yang mana pelawat serta pengguna perlu memberikan butiran peribadi seperti nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, alamat dan sebagainya atas alasan mematuhi SOP kerajaan menangani Covid-19 sejak fasa PKPB.
“Anda semua harus mengambil maklum, semua maklumat ini sebenarnya sangat peribadi, menyentuh soal keselamatan dan sangat sensitif, soalan saya adakah ini juga salah satu cara untuk pengumpulan data peribadi serta digunakan oleh golongan tertentu untuk kepentingan mereka?” soalnya.
Sambung Jacob, beliau yang turut sama turun padang menyiasat aduan pengguna kemudian terkejut besar apabila mendapat jawapan cukup memeranjatkan.
“Apabila saya bertanya kepada pihak-pihak yang mengambil butiran peribadi ini untuk SOP kerajaan menghadapi Covid-19, ini termasuklah pengawal-pengawal keselamatan dan sebagainya, saya dapat jawapan mengejutkan.
“Saya bertanya kepada mereka adalah maklumat-maklumat ini yang ada dalam buku pendaftaran pelawat itu sebenarnya item kawalan keselamatan, rata-rata mereka tidak tahu dan ada juga terkejut (apabila diberitahu ia maklumat sulit).
“Mereka juga sebenarnya tidak diberikan sebarang pemahaman yang buku mengandungi maklumat peribadi itu sepatutnya bawah kawalan pihak pengurusan baik di pasar raya, bank, hospital, klinik, restoran dan agensi serta premis perniagaan yang lain.
“Adakah sesiapa boleh mengakes kepada maklumat peribadi ini? Main-mainkah mereka? Kita sedang bercakap tentang butiran peribadi kita.
“CASSA faham jika maklumat yang diambil ini adalah atas arahan kerajaan untuk keselamatan diri kita dan negara bagi tangani pandemik Covid-19.
“Tetapi harus ingat juga, ini juga adalah satu kecuaian serta pengabaian tanggungjawab jika pengumpulan data peribadi tidak diuruskan dengan profesional,” tegasnya.
Jacob juga menarik perhatian dengan mendedahkan tentang sesiapa yang menguruskan pengumpulan data, mereka sebenarnya juga tertakluk dibawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) atau APDP.
Jelasnya, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bertujuan melindungi Data Peribadi dan Data Peribadi Sensitif setiap individu daripada sebarang bentuk pemprosesan oleh Pengguna Data tanpa melanggar tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi di Malaysia berhubung transaksi komersial selepas 15 November 2013.
“Perlu tahu perlindungan data bertujuan untuk memastikan keselamatan terhadap maklumat yang telah kita berikan kepada pihak-pihak tertentu agar maklumat tersebut tidak disalahgunakan untuk kepentingan mereka.
“Sebagai pengguna, kita perlu sedar isu perlindungan data ini tidak sewajarnya dipandang remeh kerana ia membabitkan maklumat peribadi boleh digunakan oleh pihak yang mempunyai akses terhadap data tersebut tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu untuk tujuan yang tidak diingini.
“Saya mohon pihak berwajib menyiasat tentang aduan-aduan ini sebelum ianya menjadi lebih parah dan teruk selepas ini, jangan sampai nasi jadi bubur pula,” ujarnya. – MalaysiaGazette