Home Nasional Jangkaan satu digit positif Covid-19 akan dicapai empat minggu lagi

Jangkaan satu digit positif Covid-19 akan dicapai empat minggu lagi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sasaran untuk mendapatkan satu digit positif Covid-19 boleh akan tercapai.jika rakyat Malaysia mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya ia dapat dipatuhi khususnya SOP 20 orang dalam satu-satu ziarah maka ia sasaran itu dapat dicapai seawal dua minggu lagi.

“Kalau rakyat bekerjasama dan ada tanggungjawab sosial dan patuh kepada SOP, kita dapat kurangkan lagi kepada satu angka.

“Dengan adanya permodelan dan ramalan oleh Institut Kesihatan Malaysia, kita dapat jangkakan tindakan kita hari ini akan membuahkan hasil dalam tempoh dua atau empat minggu akan datang,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Jelas Noor Hisham, Institut Kesihatan Malaysia sedang membuat model dan ramalan mengenai kepatuhan SOP berkenaan khususnya pada sambutan Hari Raya Aidulfitri tidak lama lagi.

Katanya, sekiranya SOP itu tidak diendahkan oleh rakyat Malaysia, maka KKM menjangkakan kes positif Covid-19 akan memuncak pada pertengahan Jun depan.

“Tapi kalau kita tidak dapat mematuhi SOP tapi daripada PKP 1 hingga 4, kita dapat kurangkan R naught 3.55 kepada 0.33 dan sekarang ini kita akan lihat sebab PKPB kita telah membuka kepada rakyat Malaysia untuk keluar tapi masih perlu patuh kepada SOP.

“Kalau tidak patuh kemungkinan bacaan ini akan naik kalau R naught naik kepada 1.6 bermakna kita dalam keadaan amaran dan bahaya dan mungkin akan mendapat peningkatan kes yang mendadak yang dijangkakan boleh berlaku pada pertengah bulan Jun,” katanya.

R naught (RO) merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti dalam kes tersebut.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam memutuskan bahawa aktiviti ziarah dihadkan bagi perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

Katanya, Mesyuarat khas MKN hanya membenarkan 20 individu sehari duntuk menziarah pada hari pertama Hari Raya Aidilftri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. – MalaysiaGazette