Home Dunia Ketepi takut koronavirus untuk beli beg Chanel

Ketepi takut koronavirus untuk beli beg Chanel

Orang ramai beratur seawal jam 5 pagi di hadapan butik Chanel di Seoul selepas mendengar jenama tersebut akan menaikkan harga.

SEOUL – Penduduk Korea Selatan sanggup mengenepikan rasa takut terhadap virus Covid-19 apabila mendengar spekulasi harga barangan berjenama Chanel akan naik harga.

Sedangkan, negara tersebut baru sahaja mencatatkan lebih 100 kes Covid-19 terbaharu yang dikaitkan dengan kelab malam di Seoul dan dibimbangi mencetuskan gelombang kedua wabak berkenaan di negara itu sekali gus meranapkan kisah kejayaan Korea Selatan dalam menangani virus pembunuh tersebut.

Sanggup beratur dalam barisan panjang seawal pukul lima pagi di hadapan gedung terkemuka Lotte di tengah bandaraya Seoul, orang ramai hanya diberikan tiket masuk ketika butik tersebut dibuka iaitu pada jam 10.30 pagi.

Lee Ji-yeon,54, yang tiba pada jam 7.30 pagi di Lotte berkata, bakal menantunya sedang beratur di sebuah butik Chanel yang lain bagi membeli seutas beg tangan jenama tersebut sebagai hadiah perkahwinan.

“Kami telah beberapa kali ke butik Chanel sebelum ini tetapi masih mempertimbangkan sama ada mahu membeli atau tidak.

“Tetapi disebabkan harganya akan naik, kami membuat keputusan untuk membeli sekarang,” katanya.

Kebanyakan penduduk Korea Selatan menjadikan beg berjenama sebagai hadiah perkahwinan. – Agensi