PUTRAJAYA – Golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian dan penternakan didapati lebih meminati bidang keusahawanan dan memasarkan produk.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mereka bukan sahaja menjadi peladang, penternak dan nelayan tetapi turut memasarkan dan menjual produk-produk pertanian mereka sendiri.
“Contoh yang paling jelas adalah apabila Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), golongan muda ini menjadi lebih kreatif dalam memasarkan produk-produk pertanian mereka melalui platform e-commerce dan aplikasi media sosial,” katanya semasa berucap pada majlis Penyampaian Geran Agropreneur Muda (GAM) Fasa 1 Tahun 2020 di sini.
Menurut Ronald, penglibatan anak muda dalam industri pertanian dan penternakan perlu mendapat galakan penuh daripada kerajaan memandangkan hanya 15 peratus daripada ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berumur bawah 40 tahun dan 45 peratus adalah berumur 60 tahun ke atas.
Katanya, menurut kajian KRI Discussion Paper terbitan 27 April 2020, purata umur pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah berumur 60 tahun pada tahun 2016
Berikutan itu, tambah beliau, negara amat memerlukan penglibatan anak-anak muda dalam sektor pertanian sebagai pelapis baru generasi petani sedia ada.
Sementara itu, Ronald berkata, kementeriannya menganjurkan Program Agropreneur Muda (PAM) yang merupakan program di bawag Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) untuk golongan muda berumur antara 18 hingga 40 tahun.
Program itu bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan semua bidang di sepanjang rantaian nilai seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani termasuk pemasaran selain khidmat sokongan. – MalaysiaGazette