MOSCOW – Rusia memulakan siasatan terhadap keselamatan ventilator yang dihasilkannya, yang mana sebahagian daripadanya telah dihantar ke Amerika Syarikat (AS) selepas enam orang pesakit maut dalam kebakaran yang membabitkan enam mesin tersebut.
Lima orang mati di Hospital Saint George di St Petersburg semalam, termasuk empat daripada pesakit Covid-19 yang berada di unit rawatan rapi.
Sumber memberitahu agensi berita TASS, api meletus selepas ventilator yang digunakan untuk membantu pesakit Covid-19 yang sukar bernafas menyebabkan berlaku kebakaran di wad.
Kebakaran serupa – disebabkan oleh model ventilator yang sama, telah membunuh seorang pesakit lain di sebuah hospital di Moscow pada Sabtu lalu.
Roszdravnadzor, pemerhati penjagaan kesihatan Rusia akan memeriksa kualiti dan keselamatan ventilator di dua hospital tersebut dan hospital St Petersburg.
Malah, ia menggesa supaya penggunaan ventilator itu dihentikan serta-merta.
Bagaimanapun, pengilang meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan berhubung kejadian itu.
Model Aventa-M adalah salah satu model yang dikirimkan kepada Amerika Syarikat dari Rusia pada awal April untuk membantu mengatasi wabak koronavirus.
Ventilator itu dihasilkan oleh firma yang berada di bawah sekatan AS.
Ventilator tidak diagihkan kepada hospital-hospital di AS, kata Janet Montesi, jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS.
Mesin-mesin itu dihantar ke New York dan New Jersey, Amerika Syarikat yang paling teruk terkena virus, tetapi tidak digunakan.
Negeri-negeri mengembalikan ventilator ke FEMA dan siasatan oleh pihak berkuasa Rusia akan membantu keputusan agensi itu mengenai penggunaannya, kata Montesi.
Loji Kejuruteraan Instrumen Ural (UPZ) di Chelyabinsk, 1.500 km (930 batu) timur Moscow, mengesahkan bahawa Aventa-M adalah salah satu produknya dan telah dibekalkan ke Hospital Saint George.
“Kami tidak memiliki data rasmi mengenai peranti yang dipasang di zona kebakaran (St Petersburg),” tambah seorang jurucakap. – MalaysiaGazette