KUALA LUMPUR – Adakalanya dia bertanya, mengapa dia sentiasa didampingi derita. Terdetik di hati wanita berusia 66 tahun ini, adakah dia terlalu berdosa sehingga diuji sedemikian rupa.
Namun, kesempatan melihat sendiri penderitaan yang ditanggung oleh insan lain terutamanya ketika berkunjung ke hospital, Norziah Tharin bermuhasabah diri dan mengembalikan takdir kepada Allah biarpun menanggung kesakitan akibat luka di jari kaki akibat penyakit kencing manis.
Kisah duka Norziah yang bekerja sebagai tukang sapu bukan setakat melingkari dirinya. Bulan lalu dia kehilangan anak keduanya, Mohamad Sharizal, 44, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kerana penyakit sawan.
Sebelum itu, dia menjaga suaminya, Safar Abu dan anak ketiganya, Norhafiza, 40, yang kudung kedua-dua kaki pada tahun 2014 selepas dipotong kerana penyakit kencing manis. Norhafiza yang juga OKU sejak umur empat tahun turut hilang penglihatan.
Anak sulungnya, Mohamad Amar, 46, yang menjadi tempat bergantungnya selama ini pula mengalami masalah injap jantung tersumbat dan kini bekerja sebagai penghantar makanan.
Namun bagi Norziah, dia bersyukur masih mendapat bantuan daripada Baitulmal yang baru dinaikkan sebanyak RM600 sebulan selain bantuan lampin pakai buang oleh agensi itu.
Pada masa sama katanya, pembiayaan rawatan dialisis buah pinggang suaminya sebanyak tiga kali seminggu turut ditanggung Baitulmal dan Norhafiza juga mendapat elaun RM250 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kalau hendak ikut bantuan memang tidak cukup tetapi kami sekeluarga perlu berjimat-cermat. Lagi pun ada bantuan seperti beras yang disumbang oleh orang.
“Kadang-kadang beras terlebih hingga saya memberi kepada jiran-jiran yang memerlukan. Cuma ketika ini, kos bayaran kenderaan setiap kali buat rawatan suami adalah RM20 pergi dan balik.
“Kalau seminggu sudah RM60 dan sebulan sudah berapa. Dulu ada perkhidmatan van percuma disediakan namun baru-baru dihentikan sementara waktu.
“Namun anak yang sulung ada juga membantu dengan menghulur wang ringgit yang termampu bagi dirinya kerana dia juga menyara keluarganya,” katanya yang kini bekerja sebagai pembersih sampah dengan gaji kasar RM800 sebulan.
Beliau ditemui di ruang pejabat Pasar Datuk Keramat yang kini menjadi tempat beliau dan keluarga menumpang sementara sejak Disember lalu.
Norziah dan keluarga yang menetap di flat Seri Perlis sejak 50 tahun berpindah ke ruang pejabat itu atas inisiatif ahli jawatankuasa pasar yang bersimpati dengan nasib mereka selain membantu memudahkan pergerakan tanpa perlu turun naik rumah yang terletak di tingkat tiga flat itu.
Diminta berkongsi perasaannya yang ditimpa pelbagai ujian, Norziah yang juga telah dikurniakan cucu memberitahu beliau pasrah dan reda dengan ujian Allah SWT ke atasnya.
“Kadang-kadang saya terfikir sebelumi suami meniaga mungkin kami terambil wang pelanggan yang lebih tanpa sengaja dan terkena sumpah mereka.
“Ada kutuk saya, apa terjadi kerana saya buat dosa. Dalam hati ini memang sedih, kenapa nasib saya macam ini dan nasib orang lain. Namun bila pergi hospital ramai lagi yang bernasib malang kurang rasa sedih itu. Cuma balik rumah baru terasa balik perasaan itu.
“Paling sedih anak saya yang baru meninggal sebab dia suka minta wang dengan orang. Bukan sahaja orang ramai, saudara pun marah dengan dia. Tapi dia OKU dan jenis tidak tahu bahasa dan bila balik rumah akan cerita orang yang marah dia,” katanya menahan sebak.
Ditanya pernah beliau menangis seorang diri akibat tidak dapat menahan emosi, Norziah mengakui perasaan itu timbul selalunya pada waktu malam apabila melihat anak-anaknya sudah tidur terutama arwah Mohamad Sharizal.
Jelas beliau, dia akan memarahi dan pernah menampar arwah setiap kali tidak dapat mengawal perasaan marah apabila anaknya itu meminta wang daripada orang ramai.
“Bila arwah tidur saya jadi sedih dan saya pernah cakap kalau saya meninggal dunia dulu siapa hendak jaga dia dan adiknya.
“Namun arwah selalu pesan agar saya jangan berfikir sangat hal kerana semua kerja Tuhan dan arwah janji dia akan jaga adiknya namun dia yang pergi dahulu,” katanya.
Ditebak dengan soalan impian dalam hidupnya, Norziah berharap dapat kembali menetap di rumahnya semula namun di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakan suami dan anaknya.
Walaupun ia mustahil kerana kebanyakan flat itu sudah dipenuhi penghuni yang berusia, beliau selesa tinggal di kawasan yang didiami sejak 50 tahun lalu.
Sementara itu, nasib malang Norziah dan keluarganya itu mendapat perhatian pendakwah muda, Ustaz Sheikh Mohammad yang turut menyampaikan barangan keperluan asas termasuk lampin pakai buang yang kini sangat diperlukan oleh Norhafiza ketika ini.
“Kita berusaha untuk memberi sumbangan serba sedikit kepada keluarga ini agar mereka dapat mengharungi dugaan ini dengan baik dan rasa dihargai oleh orang lain.
“Percayalah, setiap sumbangan yang diberikan oleh anda semua akan mendapat ganjaran yang setimpal dikemudian hari kerana Allah SWT telah berjanji bahawa tidak akan jatuh miskin insan-insan yang sering bersedekah,” jelas pengasas Laksa Ustaz ini yang menjual laksa untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, mereka yang ingin memberi sumbangan kepada Norziah dan keluarga, boleh menyalurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional( Sapar Bin Abu) –
05102-29-88523021-1. – MalaysiaGazette