Home Nasional Bawa warga emas, kanak-kanak ke tempat awam boleh disaman

Bawa warga emas, kanak-kanak ke tempat awam boleh disaman

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Mana-mana individu yang melanggar arahan dengan melibatkan golongan berisiko jangkitan wabak Covid-19 boleh dikenakan tindakan saman atau didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Amaran itu diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang memberitahu, pelanggaran arahan itu antaranya membawa kanak-kanak dan warga emas, ke tempat awam tanpa sebarang keperluan.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, Kementerian Kesihatan berpendirian hanya memberi nasihat kepada semua pihak agar tidak membawa golongan berisiko ke tempat awam, termasuk pasar raya dan hospital.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jangan membawa mereka (golongan berisiko) ke tempat awam, termasuk pasar raya dan hospital, melainkan jika ada temu janji.

“Sekarang, kita memberi nasihat dan mungkin akan mengambil tindakan bawah Akta 342 yang boleh disaman atau dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham menasihati orang ramai supaya melaksanakan ‘perintah berkurung’ di rumah sendiri pada sambutan Aidilfitri ini.

Beliau mengakui cara sambutan perayaan seumpama itu tidak pernah berlaku, namun ia sekurang-kurangnya dapat melindungi ahli keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19.

“Kita boleh melaksanakan ‘perintah berkurung’ di rumah sendiri, contohnya bagi memastikan tiada orang luar datang ke rumah.

“Ia adalah inisiatif yang baik jika anda boleh melakukannya. Walaupun ada ahli keluarga yang datang dari zon merah, anda perlu berhati-hati dan melindungi warga emas serta orang kurang upaya (OKU),” ujarnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. MB selangor kata boleh.. siap di buka semua taman utk beriadah.. nk bagi semua rakyat selangor berjangkit covid agaknya

Comments are closed.