Home Dunia Covid-19: Petisyen cabar undang-undang Sri Lanka bakar mayat

Covid-19: Petisyen cabar undang-undang Sri Lanka bakar mayat

Rishad Bathiudeen

COLOMBO – Bekas menteri Kabinet dan pemimpin All Ceylon Makkal Congress (ACMC), Rishad Bathiudeen, memohon Mahkamah Agung Sri Lanka mencabar keputusan pihak berkuasa tempatan untuk membakar mayat pesakit Covid-19, selain mayat yang disyaki mati kerana virus itu, termasuk umat Islam.

Sehingga semalam, Sri Lanka melaporkan 916 kes Covid-19, 445 kes pulih dan sembilan kematian.

Kes kematian tersebut melibatkan empat jenazah Islam yang dibakar walaupun ditentang ahli keluarga.

Tiga lagi jenazah umat Islam yang meninggal dunia baru-baru ini juga telah dibakar kerana disyaki mati akibat jangkitan Covid-19.

“Walaupun terdapat berjuta-juta jangkitan di seluruh dunia dan beratus-ratus ribu kematian dan mayat dikebumikan, hingga kini tidak terdapat satu laporan jangkitan disebabkan pengkebumian mayat,” kata Bathiudeen dalam satu kenyataan yang menggesa pihak berkuasa menghormati kepercayaan agama komuniti Islam.

Pada 31 Mac lalu, Kementerian Kesihatan mengkaji semula garis panduan, arahan pembakaran mayat sahaja, untuk individu yang meninggal dunia kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Langkah tersebut diambil selepas seorang Muslim, yang diuji positif Covid-19 meninggal dunia.

Pada 11 April lalu, kerajaan mewartakan notis pembakaran mayat sebagai mandatori untuk kematian berkaitan Covid-19.

Indang-undang baharu itu mengejutkan umat Islam di Sri Lanka yang merangkumi 10 peratus jumlah penduduk negara tersebut seramai 21 juta orang.

Pemimpin masyarakat dan badan agama, termasuk All Ceylon Jamiyyathul Ulama, melahirkan kebimbangan dengan memetik garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyatakan mangsa boleh ‘dikebumikan atau dibakar’.

Bagaimanapun, dengan tiada perubahan dalam kerajaan, aktivis masyarakat memfailkan sekurang-kurangnya lima petisyen hak asasi asas di Mahkamah Agung pada minggu lalu.

“Garis panduan WHO adalah jelas. Tiada bukti saintifik yang menyokong kebimbangan bahawa Covid-19 mungkin merebak kerana pengkebumian mayat pesakit. Jelas, ini melangkaui sains dan datang dari agenda rasis,” kata salah seorang pempetisyen, Hilmy Ahmed.

Ahmed yang merupakan Naib Presiden Majlis Muslim Sri Lanka berkata, pendekatan kerajaan selari dengan serangan anti Muslim sejak beberapa tahun lalu.

Sejak 2012, terdapat gangguan keganasan dilakukan ke atas umat Islam, sering kali dihasut oleh kumpulan Sinhala-Buddha yang dilihat mempunyai kekebalan.

“Keputusan ini dilihat dalam dalam konteks itu. Melakukan pembakaran mayat mandatori kemungkinan besar akan digunakan retorik pilihan raya kemudian, oleh sesetengah ahli politik yang akan menyatakan Muslim mendapat pengajaran semasa pendamik ini,” kata Ahmed kepada The Hindu.

Sementara itu, Bapa Rafaideen Nawsar, 64, meninggal dunia pada minggu lalu selepas mengadu mengalami sesak nafas.

Pihak berkuasa yang pergi ke rumahnya berkata, mayatnya perlu dibakar memandangkan dia adalah ‘kes disyaki’ Covid-19.

“Apabila saya berkata ia bertentangan dengan kepercayaan agama kami, dan ayah saya tidak diuji positif, mereka tanya saya jika saya mahu bertanggungjawab sekiranya lebih ramai orang dijangkiti.

“Bagaimana boleh saya kata saya akan bertanggungjawab? Saya menurunkan tandatangan atas dokumen,” katanya kepada The Hindu. 

Bekas Ahli parlimen Sri Lanka Muslim Congress, Ali Zahir Moulana berkata, pihak berkuasa menggunakan ‘kekerasan dan intimidasi’ untuk melakukan pembakaran mayat dengan segera.

“Para pegawai kesihatan dan polis melawat rumah keluarga yang sedang berkabung sangat tidak sensitif. Mereka mengumpulkan mereka seolah-oleh mereka adalah pengganas. Ini bukan sahaja diskriminasi tetapi juga tidak berkeperimanusiaan,” katanya.

Moulana berkata, pencabulan itu dikaitkan dengan ‘tindak balas ketenteraan yang tinggi’ kepada pandemik tersebut.

“Malah Setiausaha Kementerian Kesihatan yang baharu dilantik adalah Major Jeneral,” tambah beliau.

Pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan pemantau hak asasi manusia menggesa kerajaan Sri Lanka untuk mengkaji semula keputusan dan menghormati hak pengkebumian umat Islam.

Petisyen yang mencabar garis panduan kerajaan berhubung kematian disebabkan Covid-19 itu dijangka didengar di Mahkamah Agung pada minggu depan. – Agensi