Home Nasional Ekonomi merudum dua digit pada suku kedua?

Ekonomi merudum dua digit pada suku kedua?

Menara Berkembar KLCC semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, pertumbuhan ekonomi suku pertama pada 0.7 peratus adalah menepati ramalan, tetapi keadaan lebih buruk akan berlaku pada suku kedua.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, keadaan ekonomi suku kedua dijangka mengalami pengecutan satu digit, tetapi ia juga boleh merudum sebanyak dua digit dalam keadaan paling buruk.

Untuk keadaan sepanjang 2020 pula, Heng Guie mengekalkan ramalan awalnya iaitu mengalami pengucupan sebanyak tiga peratus.

“Pengecutan pada separuh tahun kedua bagaimanapun adalah lebih kecil memandangkan kebanyakan kegiatan ekonomi telah beroperasi semula,” katanya.

Heng Guie juga berharap syarikat milik kerajaan (GLC) dapat meningkatkan modal pelaburan bagi menopang ekonomi negara.

Sementara itu, Dr. Wong Chin Yoong dari Universiti Tunku Abdul Rahman menganggarkan ekonomi Malaysia pada suku kedua akan mengecut tiga hingga lima peratus, tetapi tidak seteruk kemelesetan ekonomi 2009 yang menyaksikan pengucupan 6.2 peratus pada suku pertama.

“Selain pakej rangsangan ekonomi, kerajaan juga membenarkan majikan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih lewat.

“Selain itu, kebanyakan syarikat besar masih beroperasi dan perdagangan antarabangsa tidak terputus,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau meramalkan ekonomi Malaysia sepanjang 2020 boleh mencatat pertumbuhan 0 hingga 1 peratus jika ekonomi Amerika Syarikat diaktifkan semula dan tidak menerima tamparan jangkitan COVID-19 gelombang kedua.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia susut kepada pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.5 peratus pada suku sama tahun lalu.

Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunos berkata, penurunan mendadak itu didorong langkah yang diambil bagi mengekang wabak COVID-19. – MalaysiaGazette