Home Nasional Jabatan Kesihatan punyai kuasa laksana PKPD, bukan kerajaan negeri

Jabatan Kesihatan punyai kuasa laksana PKPD, bukan kerajaan negeri

Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menutup mana-mana kawasan mahu pun pasar awam untuk dilakukan sanitasi sekiranya dijangkiti wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan yang mengetuai operasi pengawalan dan pembasmian pandemik itu.

“Sebarang nasihat berkenanan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ataupun sebagainya biasanya kita ambil pandangan daripada pihak Jabatan Kesihatan.

“Kalau Jabatan Kesihatan merasakan tidak perlu untuk menutup, bermakna kita akan mengambil nasihat tersebut.

“Sebaliknya kalau ada arahan terbaru atau ada pandangan untuk kita tutup, kita akan teliti,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar hari ini.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian bahawa tiga petak gerai di Pasar Awam Sekinchan ditutup bermula Selasa lalu berikutan seorang peniaga pasar itu disahkan positif Covid-19.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Mohd Faizul Fitri Muslil, tiga petak gerai pasar itu ditutup sementara sehingga tahap kesihatan peniaga yang dijangkiti wabak itu kembali pulih.

Amirudin juga berkata, beliau dan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor sedia untuk memberi kerjasama dengan KKM dan Jabatan Kesihatan sekiranya ada keperluan untuk menutup mana-mana kawasan terjejas.

“Pihak jawatankuasa tindakan dan juga jawatankuasa Covid-19 Majlis Keselamatan Negeri Selangor bersedia bermesyuarat bila-bila masa.

“Mengikut rekod, kita biasa bermesyuarat pada hari minggu atau cuti umum untuk membuat satu-satu keputusan tertentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. hahaha tapi heran pulak. nasihat pusat utk negeri negeri bg PKPB tak mau ikut pulak.. Dan itu juga adalah dari nasihat KKM jugak.. boleh pilih pilih pulak utk elakkan puak kapitalis marah..

Comments are closed.