KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunter sepenuhnya termasuk di cawangan Pos Malaysia bagi semua urusan bermula Isnin ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pada masa ini, kakitangan JPJ di seluruh negara dalam persiapan terakhir untuk digerakkan sepenuhnya bagi memulakan pengoperasian termasuk memastikan langkah dari aspek keselamatan dan kesihatan dipenuhi.
Beliau berkata, beberapa penyelarasan rutin juga dimuktamadkan antara JPJ dengan bank yang berkaitan untuk memastikan perkhidmatan JPJ dapat kembali normal pada minggu hadapan.
“Sebelum ini, JPJ telah membuka perkhidmatan kaunter secara berperingkat susulan keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi negara menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Hanya urus niaga tertentu dibenarkan beroperasi di kaunter sehingga 17 Mei ini dan senarai urus niaga berkenaan antaranya pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) bagi pemandu kenderaan perdagangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JPJ juga akan terus beroperasi selama tujuh hari seminggu bertujuan membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan pelanggan sedia ada daripada kedua-dua urusan perdagangan dan individu.
“Pengoperasian ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian diumumkan kelak manakala waktu operasi pula adalah dari 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu di beberapa negeri yang berkaitan).
“Pembayaran secara tunai bagi semua urusan di cawangan JPJ adalah dibenarkan hanya pada 8 pagi hingga 11 pagi sementara pembayaran tanpa tunai atau e-payment termasuk transaksi melalui kad debit dan kad kredit pula diterima mulai 8 pagi hingga 4 petang pada hujung minggu,” katanya.
Wee berkata, hanya e-bayaran dibenarkan untuk semua urusan pada hujung minggu.
“Diingatkan bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP dengan syarat kenderaan itu masih dilindungi dengan perlindungan insurans yang sah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata, perkhidmatan kaunter JPJ akan ditutup mulai hari Sabtu (23 Mei) sehingga Selasa (26 Mei) dan kembali beroperasi pada hari Rabu (27 Mei).
“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai dan kakitangan agensi supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha bersama mencegah penularan wabak Conid-19,” katanya. – MalaysiaGazette