Home Nasional Kaunter perkhidmatan JPJ ditutup tiga hari sempena Aidilfitri

Kaunter perkhidmatan JPJ ditutup tiga hari sempena Aidilfitri

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang di buka Isnin ini akan ditutup selama tiga hari bermula pada 23 hingga 26 Mei depan sempena sambutan Aidilfitri.

Ia akan dibuka kembali pada 27 Mei, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Pada masa ini, kakitangan JPJ di seluruh negara sedang dalam persiapan terakhir untuk digerakkan sepenuhnya untuk memulakan pengoperasian termasuk memastikan langkah-langkah dari aspek keselamatan dan kesihatan dapat dipenuhi sebagaimana yang diperlukan.

“Beberapa penyelarasan rutin juga dimuktamadkan antara JPJ dengan bank-bank yang berkaitan untuk memastikan perkhidmatan JPJ dapat kembali normal pada minggu hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, JPJ telah membuka perkhidmatan kaunter secara
berperingkat susulan keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi negara menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

JPJ juga akan terus beroperasi selama tujuh hari seminggu bertujuan membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin selain daripada mengelakkan kesesakan pelanggan sedia ada daripada kedua-dua urusan perdagangan dan individu, kata Ka Siong.

Menurutnya lagi, pengoperasian itu akan berterusan sehingga arahan pemberhentian diumumkan kelak.

Manakala katanya, waktu operasi pula adalah dari pukul 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 1 petang pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu di beberapa negeri yang berkaitan).

Tambah beliau, pembayaran secara tunai bagi semua urusan di cawangan-cawangan JPJ adalah dibenarkan hanya pada pukul 8 pagi hingga 11 pagi sementara pembayaran tanpa tunai atau e-payment termasuk transaksi melalui kad debit dan kad kredit pula diterima mulai pukul 8 pagi hingga 4 petang pada hujung minggu.

Bagaimanapun katanya, hanya pembayaran secara e-payment
sahaja dibenarkan untuk semua urusan pada hujung minggu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP dengan syarat kenderaan tersebut masih dilindungi dengan perlindungan insurans yang sah.

“Saya sekali lagi ingin mengingatkan kepada orang ramai dan kakitangan agensi supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha bersama mencegah penularan wabak Covid-19.

“Kementerian akan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan para pengguna pengangkutan awam di Malaysia.

“Dalam masa sama, usaha melawan pandemik Covid-19 ini juga adalah tanggungjawab kita bersama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Kaunter JPJ seluruh negara dibuka sepenuhnya Isnin ini