PUTRAJAYA – Warga asing yang sudah menjalani ujian saringan Covid-19 tidak akan diberikan lencana oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini kerana, keputusan ujian yang dijalankan adalah untuk waktu itu sahaja dan golongan tersebut masih terdedah untuk dijangkiti virus berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
“Bagi ujian ke atas warga asing, kita akan bagi keputusan dalam satu surat, bukan lencana. Jika kita bagi lencana, ia seperti satu pas.
“Ini disebabkan ujian itu adalah untuk masa itu saja. Selepas satu atau dua minggu, mereka masih terdedah kepada Covid-19 dalam masyarakat,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan lencana bagi warga asing yang sudah menjalani saringan Covid-19.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, warga asing yang telah menjalani ujian saringan tetap terdedah dijangkiti wabak tersebut meskipun ujian pertama disahkan negatif.
“Jadi persoalannya ialah yang ujian tersebut hanya untuk pada masa tersebut, jadi pada minggu depan atau dua minggu lepas itu, mereka masih terdedah kepada Covid-19 dalam masyarakat,” ujarnyanya. – MalaysiaGazette