Home Dunia MH17: Puak pemisah Ukraine tahan suspek

MH17: Puak pemisah Ukraine tahan suspek

Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

KIEV – Salah seorang daripada empat lelaki yang didakwa membunuh 298 penumpang pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh, Leonid Kharchenko, ditahan di timur Ukraine.

Perkhidmatan BBC Rusia melaporkan, individu berusia 47 tahun itu ditahan oleh puak pemisah, Donetsk People’s Republic yang disokong Rusia pada 11 Mac lalu.

Individu warga Ukraine itu sedang dibicarakan tanpa kehadiran di mahkamah Belanda kerana membunuh dan memusnahkan pesawat awam dengan menembak jatuh pesawat tersebut pada 17 Julai 2014.

Kharchenko didakwa membantu menyelaras pelancar peluru berpandu, Buk-TELAR, yang digunakan dalam serangan yang dilakukan bersama warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov.

Badan penyiaran Britain itu melaporkan lelaki berusia 47 tahun itu tinggal di Donesk sejak 2018 dan tidak memberi ulasan mengenai prosiding jenayah di Belanda.

Beliau telah didakwa memiliki senjata secara haram oleh pihak pemisah dan melakukan satu pencarian secara haram, namun sumber BBC berkata, tangkapan Kharchenko bertujuan menghalang ejen perisik Ukraine daripada menculiknya.

“Tuduhan-tuduhan itu adalah mengarut, dakwaan menyertai pencarian sacara haram pada 2014 dan pemilikan senjata secara haram.

“Mangsa tidak membuat aduan mengenai dakwaan pertama. Bagi dakwaan kedua, senjata ini. Pada 2019, mereka telah menyebarkannya di Kementerian Keselamatan Negara bagi memastikan keselamatan peribadi dalam kes MH17,” kata seorang sumber kapada BBC.

Ejen Ukraine menculik, Vladimir Tsemakh, individu yang mempunyai kepentingan dalam kes MH17, dari wilayah yang dikuasai pihak pemisah pada tahun lalu. Bagaimanapun beliau kemudiannya diserahkan kepada Rusia menerusia perjanjian pertukaran banduan.

Pada bulan lalu badan penyiaran, BBC; laman sesawang berita, The Insider dan Bellingcat menamakan Kolonel Jeneral Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia, Ivanovich Burlaka mempunyai hubungan secara langsung dengan tragedi tersebut.

Perbicaraan kes MH17 akan disambung di Mahkamah Daerah the Hague, yang terletak di Kompleks Kehakiman Schiphol.

Sebelum ini Girkin dan Dubinsky menafikan mereka bertanggungjawab dan menolak bidang kuasa mahkamah itu manakala Kharchenko masih belum membuat sebarang ulasan mengenai prosiding itu.

Semua tertuduh dibicarakan tanpa kehadiran, hanya defenden Pulatov yang mempunyai wakil di mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung pada 8 Jun ini. – Agensi