KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadangkan supaya merampas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti.
Cadangan itu diberikan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam), U. Thamotharan, yang melihat isu lompat parti kini telah menjadi budaya dan norma baru dalam politik di negara ini dan ia merupakan perbuatan menjijikkan.
Katanya, wakil rakyat yang lompat parti telah hilang mandat dan kepercayaan rakyat yang mengundi mereka dan “wabak” tersebut perlu dihapuskan sama sekali.
“Suruhanjaya Pilihan Raya harus menerapkan undang-undang baru untuk memastikan perkara ini (rampas kawasan DUN) dikuatkuasa di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
‘
Thamotharan berkata, wakil rakyat sepatutnya memberi fokus kepada isu rakyat khususnya pandemik Covid-19 dan bukannya menumpu kepada isu politik semata-mata.
“Mereka perlu berusaha untuk memastikan rakyat dan negara bebas daripada wabak Covid-19 ini.
“Mereka juga perlu memberi fokus untuk membangunkan semula sektor ekonomi dan industri-industri yang telah lumpuh akibat wabak ini serta PKP yang dijalankan. Malaysia dan seluruh dunia telah terjejas akibat Covid-19,” ujarnya.
Thamotharan mengulas mengenai pergolakan politik yang berlaku di Kedah baru-baru ini.
Malah, terdapat juga ramai pemimpin parti politik yang sibuk memperjuangkan gerakan tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.
Thamotharan berkata, rakyat telah memilih wakil DUN dan Parlimen melalui pilihanraya yang sah dengan harapan dan kepercayaan pemimpin yang diangkat akan berkhimat untuk mereka demi kepentingan dan kemajuan rakyat.
Bagaimanapun, amat memalukan apabila diketahui wakil-wakil rakyat itu lebih pentingkan agenda sendiri dan aktif untuk melompat parti bagi memenuhi objektif tersembunyi masing-masing.
Ujarnya, setelah menang pilihanraya, mereka sanggup mengabaikan rakyat yang mengundi dan tergoda dengan nafsu jawatan, kekayaan dan harta-benda.
“SPR perlu menerapkan undang-undang baru untuk menghalang mana-mana wakil rakyat daripada lompat Parti.
“Sekiranya wakil DUN atau Parlimen lompat Parti, kerusi DUN atau Parlimen tersebut perlu dibatalkan serta pilihanraya kecil wajib dilaksanakan untuk memberi semula kuasa kepada rakyat bagi memilih wakil rakyat mereka sendiri.
“Tindakan ini dapat mengelakkan segala jenis pembaziran dan dapat memastikan wakil Rakyat hanya fokus kepada isu rakyat dan berkhidmat sepenuhnya untuk rakyat mereka sehingga PRU seterusnya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
Betul. Itu yg terbaik, rakyat pilih dia masa itu, untuk dia berbakti kpd rakyat. Tiba2 g lompat party lain. Klau mcm tu baik x payah undi dia. Ajar sikit. Biar kan, buat undi lain pangkah org lain baru padan muka dia.