Home Politik PH Selangor masih utuh – Amirudin

PH Selangor masih utuh – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 15 MEI 2020

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor masih utuh dan tidak terjejas di sebalik khabar angin wujudnya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan beralih arah dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan dakwaan itu hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kemelut yang sedang dihadapi Kerajaan PN.

“Mereka yang buat cerita itu hanya bermimpi di siang hari. Saya yakin dengan sikap para ADUN kita yang tegas. Dalam siaran media yang dibuat bersama pimpinan PH baru-baru ini, mereka memaklumkan komitmen kepada dasar dan kerajaan PH di Selangor.

“Saya anggap hal itu hanyalah propaganda murahan semata-mata untuk menggoncang dan mencalarkan kredibiliti kerajaan negeri.

“Ia cuba melarikan (perhatian) daripada kegagalan pihak tertentu melaksanakan tugas semasa menangani wabak Covid-19, atau menutup masalah mereka yang lebih besar kerana tiada kesepakatan dalam kerajaaan PN,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.

Beliau mengulas dakwaan lebih 10 ADUN PKR di Selangor akan menyertai Kerajaan PN susulan ada di antara mereka digantung keahlian dalam PKR dan merupakan kumpulan kartel yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Amirudin tidak akan menghalang mana-mana ADUN kerajaan negeri itu daripada menyertai Kerajaan PN.

“Kalau mereka sudah nekad (untuk menyertai PN), saya tak akan halang. Sepertimana pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini negara demokrasi.

“Akan tetapi mereka harus memikirkan baik buruk dan kesan langsung (daripada tindakan itu),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan ke org yg memberi kenyataan tu org azmin ali..berani ke anwar ibrahim buang org ni.. haliza mohamed talha dah kene ,dia ni bila lg..dulu bukan main lg kutuk2 anwar ibrahim kat rumah azmin..

Comments are closed.