Home Pendapat PKPB bukan tempoh bertenang lawan Covid-19

PKPB bukan tempoh bertenang lawan Covid-19

Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat kawalan laluan keluar masuk kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2020.

PERANG memutuskan rantaian Covid-19 belum berakhir, malah kita masih jauh lagi daripada melepasi batas selamat untuk mengistiharkan diri bebas daripada pembunuh senyap yang sehingga Khamis lalu merekodkan 6,819 kes dan 112 kematian di seluruh negara.

Kita juga memasuki fasa baharu apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama empat minggu lagi iaitu sehingga 9 Jun depan dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

Sepanjang tempoh ini, segala prosedur operasi standard (SOP) yang diikuti ketika ini masih diguna pakai selain mesti mengamalkan jarak sosial.

PKPB memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat berikutan aktiviti ekonomi dan sosial dalam keadaan terkawal dibenarkan berbanding Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua bulan lalu yang lebih tegas.

Sebanyak 1,112 daripada 1,178 mukim di seluruh negara atau 94.4 peratus berstatus hijau dengan 0 kes terbaru jangkitan sepanjang dua minggu lalu manakala selebihnya adalah zon kuning dan merah.

Bagaimana pun, ancaman Covid-19 masih perlu dibimbangi sebagai musuh senyap yang tidak kelihatan dan boleh menyerang pada bila-bila masa walaupun kepatuhan rakyat sepanjang PKPB amat baik namun kita masih perlu berhati-hati.

Jika ada peningkatan kes yang ketara, maka Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana.

Empat kawasan zon merah ketika ini ialah dua di Kuala Lumpur iaitu Zon Batu, Mukim Batu dan Zon Kampung Baharu diikuti Mukim Bandar, Mukim Batu di Gombak, (Selangor) dan Mukim Pedas, Daerah Rembau (Negeri Sembilan).

Manakala kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya kini diletakkan bawah PKPD bermula sehingga 23 Mei depan berikutan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan itu.

Ia membabitkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan tiga zon di kawasan berkenaan. Ini merupakan lokasi kelapan yang diisytiharkan sebagai kawasan PKPD.

Status PKPD ini merubah kawasan Jalan Othman umpama zon perang apabila keseluruhan perimeternya dipagari kawad berduri dengan kawalan anggota tentera yang lengkap bersenjata.

Sejak Ahad lalu, petugas Kementerian Kesihatan telah melakukan proses saringan ke atas penduduk termasuk warga asing secara berperingkat-peringkat.

Dalam aspek kawalan keselamatan, kira-kira 7,000 anggota tentera digerakkan dalam Ops Penawar berhubung PKP meliputi penugasan sekatan jalan raya serta rondaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Keanggotaan itu turut membabitkan 1,030 pegawai dan anggota Askar Wataniah yang dikerahkan bertugas bagi membantu pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Mereka ini yang merupakan tentera simpanan sukarela turut dipanggil menyumbang tenaga untuk ditempatkan di pos-pos sekatan jalan raya selain turut melakukan rondaan sebagai barisan hadapan di kawasan berisiko.

Penugasan ini menerusi Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) oleh Tentera Darat merupakan tindakan tepat pada saat negara berusaha mengekang wabak tersebut.

LKUB merupakan satu eksesais yang belum pernah dilaksanakan dalam konteks membantu pihak berkuasa awam. Sehubungan itu, ia merupakan kolaborasi yang baik apabila melibatkan kerahan anggota tentera sukarela dalam operasi ketenteraan.

Tugas pemantauan dalam Ops Penawar ini turut menggunakan dron milik tentera bagi mengawal serta memantau pergerakan orang ramai di kawasan-kawasan dikenal pasti.

Penggunaan dron dalam membantu pihak polis sejak 24 Mac lalu ini dilihat berkesan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, PKPD dan PKPB.

Dron yang turut dipasang dengan alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara memantau pergerakan terutama di kawasan yang sukar untuk dilalui kenderaan atau anggota.

Kelebihan dron ini dengan kamera beresolusi tinggi yang berlegar-legar di ruang udara mampu merakam visual. Dron juga boleh memberikan amaran kepada masyarakat supaya mematuhi PKP dalam pelbagai bahasa.

PKPB yang berkuat kuasa 4 Mei lalu pula menyaksikan hampir semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula. Situasi ini juga membolehkan pihak berkuasa mengurangkan hampir separuh pos-pos sekatan jalan raya di seluruh negara.

Dengan pelaksanaan PKPB, pasukan keselamatan menstruktur semula operasi dengan mengadakan sekatan di lokasi tertentu selain tumpuan kepada pematuhan terhadap SOP, operasi cegah jenayah dan kawalan sempadan.- MalaysiaGazette

Zaki Salleh

(Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu. Beliau boleh dihubungi menerusi laman Facebook menggunakan nama sama).