Home Ekonomi Ringgit dijangka cecah 4.30 pada suku keempat

Ringgit dijangka cecah 4.30 pada suku keempat

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ringgit dijangka mengukuh ke paras 4.30 (berbanding dolar AS) pada suku keempat 2020 berikutan kekangan prospek kenaikan dolar yang lebih terhad akibat diasak pelbagai tekanan.

Pada pagi ini, ringgit dibuka pada paras 4.3430 berbanding dolar AS.

Menurut Ambank Research, unjuran pengukuhan ringgit itu juga sebahagiannya disebabkan oleh andaian kemungkinan berlakunya kemelesetan global akibat COVID-19 yang sebaliknya semakin lenyap.

“Ini berikutan pelaksanaan langkah kelonggaran sekatan pergerakan dan perintah berkurung di peringkat global. Malah, cabaran mikro dan penyusutan pendapatan yang dijangka berterusan pada bulan-bulan akan datang juga semakin terkawal (selepas itu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut firma penyelidikan itu, tumpuan lebih terarah kepada angka yang memaparkan pemulihan lebih kukuh dan ketara pada 2021.

Sehubungan itu, terdapat kemungkinan besar para pelabur akan mengelak daripada mata wang selamat seperti dolar AS serta yen dan sebaliknya terbuka kepada alternatif lain.

“Faktor lain yang menyebabkan kelemahan dolar adalah impak tindakan agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menangani krisis virus COVID-19 dengan menyuntik sejumlah besar wang ke dalam ekonomi tempatan dan global,” katanya.

Ambank Research berkata dolar AS telah mengatasi sebahagian besar mata wang lain setakat tahun ini.

“Jika diteliti prospek dolar AS, ia dijangkakan mengatasi mata wang saingan, termasuk ringgit dalam jangka terdekat iaitu beberapa minggu akan datang sehingga tiga bulan. Ini turut berkait rapat dengan statusnya sebagai mata wang paling selamat,” katanya.

Malah, ringgit pula dalam masa terdekat ini akan dipengaruhi oleh cabaran luaran yang berterusan, kelemahan harga minyak mentah, pengukuhan dolar AS serta cabaran domestik lain seperti politik, pengumuman data makro, pendapatan korporat dan kecairan ringgit-dolar AS, katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam jangka panjang ringgit sepatutnya meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi dapat diterjemah kepada peningkatan pertumbuhan.

“Rangsangan ekonomi yang besar dapat melonjakkan pemulihan ekonomi sekiranya pembukaan semula ekonomi itu terbukti stabil,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pada masa ini, pembukaan semula ekonomi itu dilihat semakin rancak walaupun terdapat laporan mengenai kes jangkitan terbaharu COVID-19 di China dan Korea Selatan.

“Malah, kecaman berterusan Presiden AS Donald Trump ke atas China berkaitan penularan COVID-19 yang tidak sihat untuk ekonomi global.

“Oleh itu, permintaan untuk mata wang selamat seperti dolar AS hanya dapat dilihat dalam masa terdekat ini,” katanya.- BERNAMA