KUALA LUMPUR – Masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dinasihatkan agar bersabar untuk datang ke masjid dan surau Jumaat sebaik sahaja kerajaan membenarkannya kelak.
Menurut Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni, ini bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya yang menghadkan jumlah jemaah pada satu-satu masa.
“Setelah kita sekian lama tidak dibenarkan berjemaah di masjid, ramai ahli kariah kita yang merupakan ahli jemaah tetap di masjid, memang mereka ini orang yang bergantung harap ibadahnya di masjid, mereka datang masjid untuk mengimarahkan masjid.
“Saya berharap kepada masyarakat di luar sana agar dapat bersabar dahulu kerana sekiranya kita benarkan secara ramai, dan jemaah pun ramai datang, kita tidak dapat mengawal SOP tersebut.
“Jadi, ini akan memberi kesan kepada pandangan masyarakat lain dan sebaiknya kita mematuhi SOP ini supaya kita dapat kekal untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Masjid Negara hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hanya masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah.
Ia dilakukan secara berperingkat mulai hari ini dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.
Kata Ehsan lagi, bagi memastikan SOP itu dipatuhi, pihaknya telah menutup semua akses masuk ke Masjid Negara dan hanya membuka satu laluan sahaja termasuk laluan ke dewan solat utama.
“Kita menutup semua akses di masjid supaya dapat mengawal para jemaah hadir, hanya dibenarkan satu akses sahaja laluan masuk sahaja, begitu juga ke dewan solat satu sahaja.
“Semua jemaah yang hadir kita akan memeriksa suhu mereka dan seterusnya mencatatkan nama dan nombor telefon sebagai SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Tambahnya, dalam melaksanakan solat berjemaah, pihaknya juga mengamalkan penjarakan sosial satu meter di antara satu jemaah dengan jemaah lain di dewan solat.
Selain itu, katanya, para jemaah yang telah menunaikan solat berjemaah juga dinasihatkan supaya bersurai selepas mendirikan solat berjemaah.
“Ini kerana kita tidak mahu selepas solat kita berkumpul beramai-ramai, duduk di dalam masjid beriktikaf.
“Dalam pengurusan masjid pun kita akan menetapkan kawasan-kawasan yang dibenarkan untuk kita menunaikan solat, bukan ikut mana-mana kawasan yang kita suka.
“Ada kawasan yang kita tetapkan supaya sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, kita boleh sanitasi kawasan tersebut dengan terkawal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette