Home Nasional Exco Johor buat laporan polis kenyataan perlekeh kebenaran solat Jumaat

Exco Johor buat laporan polis kenyataan perlekeh kebenaran solat Jumaat

Tosrin Jarvanthi.

KULAI – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi hari ini membuat laporan polis berhubung satu kenyataan tular yang dimuat naik seorang individu di laman Facebook yang memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di negeri ini.

Tosrin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini, pada 9 pagi ini dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow.

Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai membuat laporan berkata tindakan individu terbabit menghina kesucian agama Islam dan mengingkari perintah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Ia satu penghinaan kepada agama Islam dan satu pengingkaran kepada titah Sultan Johor kerana ketetapan 12 orang berjemaah adalah atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan diputuskan Jawatankuasa Fatwa Agama Islam Negeri Johor.

“Dari segi masyarakat, terasa perkara ini dimain-mainkan, dipermudah-mudahkan atau dilihat begitu mudah untuk memutuskan satu perkara tanpa mengira kesan dan akibatnya,” katanya dan berharap siasatan segera dilakukan sekali gus tindakan tegas dapat diambil terhadap individu berkenaan.

Terdahulu, tular di laman Facebook di akaun dipercayai milik individu itu yang dipercayai dimuat naik pada 13 Mei lepas.

Khamis lepas, Tosrin memaklumkan kerajaan negeri Johor membenarkan hanya 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau di negeri ini mulai semalam, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. – Bernama